Tutup

Berita  | Dunia

Protes HK: Penunjuk perasaan terdesak, buat panggilan 'SOS'

Protes HK: Penunjuk perasaan terdesak, buat panggilan 'SOS'
Rakaman dron menunjukkan perkataan 'SOS' yang dibuat penunjuk perasaan anti-kerajaan di dalam premis kampus Universiti Politeknik Hong Kong, 19 Nov, 2019. REUTERS
DALAM usaha mendapatkan bantuan, penunjuk perasaan anti-kerajaan yang masih berada di Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) dilihat membentuk perkataan 'SOS' di perkarangan kampus pada Selasa.

Rakaman dron di kawasan itu memperlihatkan kertas berwarna-warni yang disusun untuk membentuk 'SOS', iaitu isyarat kod antarabangsa yang digunakan apabila bantuan diperlukan dalam keadaan kecemasan atau kesukaran.

Pada petang Selasa, hanya beberapa penunjuk perasaan yang masih berada di premis universiti yang terletak dalam daerah Kowloon itu.

Pilihan yang mereka ada hanyalah sama ada untuk lari atau menyerah diri kepada polis kerana berdepan dengan keadaan yang semakin buruk.
Sejak minggu lalu, penunjuk perasaan berkumpul di PolyU, menjadikannya antara lokasi panas ekoran pergolakan politik yang telah berlarutan selama lebih lima bulan. 

BACA: Protes HK: Penunjuk perasaan guna tali, lari dari kawasan kampus

BACA: Protes HK: Ibu bapa cari anak di kampus universiti

Kira-kira 600 penunjuk perasaan, termasuk 200 di bawah umur 18 tahun, meninggalkan kampus itu pada Selasa kerana dibenarkan pulang susulan soal siasat dan pengambilan foto mereka.

PolyU ialah universiti di Hong Kong kedua yang diserang keganasan sejak 10 hari lalu.

Ia susulan konflik yang tercetus apabila penunjuk perasaan di dalam universiti itu menghalang laluan terowong, memaksa pihak polis mengambil tindakan.