Tanda-tanda awal menunjukkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bakal kekal berkuasa dengan memenangi 83 daripada 93 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum Singapura pada Jumaat.

Parti Pekerja (WP) dijangka menang di 10 kerusi.

Keputusan awal ini, setakat 1 pagi Sabtu, berdasarkan kiraan sampel pada permulaan proses pengiraan undi.

Kadar kesilapan adalah empat peratus.

"Oleh kerana ini adalah kiraan sampel, keputusan pilihan raya mungkin berbeza. Proses pengiraan masih berjalan," kata Jabatan Pilihan Raya republik itu semasa mengeluarkan kiraan sampel itu.

Jabatan itu berkata orang ramai perlu menunggu pengumuman keputusan pilihan raya itu oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Tan Meng Dui, yang akan disiarkan secara langsung di televisyen.

Pilihan Raya Umum ke-18 Singapura dan ke-13 sejak merdeka pada 1965 berlangsung dalam "normal baharu" dengan peraturan penjarakan sosial dan larangan lain berikutan sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.

Hanya seorang calon Bebas dan 11 parti politik, termasuk PAP, bertanding mewakili 17 kawasan pilihan raya perwakilan kumpulan (GRC) dan 14 kawasan pilihan raya perwakilan tunggal (SMC) untuk mengisi 93 kerusi Parlimen.

Sebanyak 10 lagi parti ialah Parti Pekerja, Parti Kemajuan Singapura, Parti Demokratik Singapura, Peoples Voice, Parti Solidariti Nasional, Parti Pembaharuan, Parti Rakyat Singapura, People's Power Party, Red Dot United dan Singapore Democratic Alliance.

Ini merupakan pilihan raya umum kedua berturut-turut yang menyaksikan PAP meletakkan calon di semua 31 bahagian pilihan raya.

Sebanyak 2.6 juta pemilih layak mengundi dalam pilihan raya umum kali ini. Setakat 8 malam, 2.56 juta atau 96 peratus daripada pemilih berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka, menurut Jabatan Pilihan Raya.

Jabatan itu berkata jumlah yang keluar mengundi lebih tinggi berbanding pada Pilihan Raya Umum 2015, yang menyaksikan jumlah yang mengundi sebanyak 2.3 juta atau 93.56 peratus daripada pemilih berdaftar.

Terdahulu, diumumkan waktu mengundi dilanjutkan sehingga 10 malam kerana masih terdapat pengundi yang beratur panjang di sejumlah pusat pengundian, disebabkan langkah berjaga-jaga yang diambil bagi membendung penularan COVID-19 untuk memastikan pilihan raya umum yang selamat.

-- BERNAMA