DUNIA
Puluhan terkorban di Uttar Pradesh susulan hujan lebat

Kawasan petempatan di Prayagraj, Uttar Pradesh terjejas akibat paras air melimpah melebihi paras biasa. - AP
Hampir 50 orang terkorban dalam tempoh 24 jam akibat hujan lebat yang melanda negeri utara India, Uttar Pradesh, lapor Reuters, pada Sabtu.
Negeri terbesar di India itu sejak beberapa hari ini menerima taburan hujan yang berterusan hingga menyebabkan paras air di kebanyakan sungai melepasi tahap amaran.
Menurut Pesuruhjaya Bantuan Kecemasan Negeri G.S. Priyadarshi, angka kematian yang disebabkan hujan lebat berterusan dan insiden lain yang berkaitan cuaca hujan, telah mencapai jumlah 48 orang dalam tempoh 24 jam.
Tambahnya, trend cuaca itu juga telah menjejaskan kira-kira 580,000 penduduk, kebanyakannya di bahagian timur negeri itu yang berisiko berlaku banjir.
Musim monsun di India biasanya mula beransur kurang pada awal September namun pada tahun ini trend hujan itu terus berlarutan sehingga hampir sebulan.
Di kebanyakan tempat di India, kedatangan musim hujan bakal membawa bencana banjir berikutan paras air di kawasan penanaman tebu di tanah paya serta sawah bendang yang meningkat, malah mengakibatkan ancaman nyawa.
Pada Khamis, sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala enam lagi hilang selepas bandar Pune, di barat negara itu, dan sekitarnya dilanda bah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami