Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir, semalam memberitahu Putera Mahkota, Mohammed Salman tiada kaitan dengan kematian wartawan terkenal, Jamal Khashoggi.

Kenyataan itu dibuat selepas Pendakwaan Awam di Riyadh mengumumkan keputusan siasatan pembunuhan kolumnis The Washington Post tersebut.

Lima daripada individu dilaporkan mengaku membunuh Khashoggi di Konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu dan mereka bakal berdepan hukuman mati atas perbuatan tersebut.

Selain itu, seramai 21 telah disiasat dan 11 daripadanya didakwa atas kesalahan membunuh.

Menurut agensi itu, mayat pengkritik lantang Putera Mahkota itu turut dikerat-kerat dan dibawa keluar dari konsulat tersebut.

"Dua daripada lima tertuduh terbabit telah membawa keluar mayat terbabit dan menyerahkannya kepada rakan subahat warga Turki.

"Lakaran wajah individu itu akan diberikan kepada pihak berkuasa di Ankara," jelas agensi itu lagi.

Difahamkan, sistem prosedur jenayah negara itu bagaimanapun melarang nama tertuduh didedahkan kepada umum.

Sementara itu, Turki mendakwa ia mempunyai lebih banyak bukti tentang pembunuhan Khashoggi yang bertentangan dengan versi Saudi termasuk rakaman audio kedua yang berdurasi 15 minit dan dengan jelas menunjukkan insiden itu telah dirancang lebih awal.

Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ekonomi ke atas 17 warga Arab Saudi yang terlibat dalam pembunuhan Khashoggi termasuk pembantu Putera Mahkota.

"Mereka yang melakukan pembunuhan kejam ke atas wartawan yang menetap dan bekerja di AS perlu menerima akibat atas perbuatan mereka," kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Steve Mnuchin.

Antara mereka yang berdepan sekatan itu adalah Saud al-Qahtani yang dipecat daripada jawatan pembantu kanan Putera Mohammed dan Konsul Umum, Mohammad al-Otaibi. - Agensi