Seorang jurucakap Kementerian Luar Qatar menuduh Arab Saudi sengaja menjejaskan kelancaran perjalanan jemaah hajinya.

“Arab Saudi perlu menangani perkara ini, termasuk laporan berbaur kebencian oleh pengamal media negara itu,” kata Lowla Al-Khater.

Tambah Al-Khater, laporan negatif media menimbulkan ancaman kepada warga Qatar sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki ke Arab Saudi.

Ketika ini, Doha dan Riyadh tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik yang membolehkan kedua-dua negara menangani masalah berbangkit sepanjang musim haji di Tanah Suci.

“Setiap warga Qatar tersinggung dengan perkara ini. Tolak tepi soal politik kerana ini melibatkan Rukun Islam Kelima,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Al-Khater memaklumkan krisis Doha-Riyadh tidak akan menjejaskan persiapan mereka bagi menghadapi Piala Dunia 2022.

“Kejohanan itu akan diteruskan di Qatar mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya. - Anadolu