Pasukan tentera antarabangsa diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak Yaman, mengumumkan penamatan keanggotaan Qatar dalam pasukan itu.

Menerusi kenyataan pasukan pakatan yang dikeluarkan agensi berita SPA, langkah itu diambil berikutan amalan Qatar yang mengukuhkan keganasan dan sokongannya kepada pertubuhan pengganas di Yaman.

Ia termasuk menyokong al-Qaeda dan Daesh, selain berurusan dengan militia pemberontak.

Perkara tersebut diumumkan tatkala kebanyakan negara Teluk memutuskan hubungan dengan Doha.

Ia susulan ketegangan semakin memuncak antara negara berjiran di rantau itu.

Media melaporkan empat negara, Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar hari ini.

Langkah drastik itu diambil selepas pertelingkahan berhubung sokongan Qatar ke atas kumpulan Muslim Brotherhood, pergerakan ektremis Islam tertua di dunia dan menuduh Doha menyokong agenda musuh ketat mereka, Iran.