Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn melantik bekas kekasihnya, Major-Jeneral, Sineenat Wongvajirapakdi sebagai gundik rasmi baginda dengan gelaran “Royal Noble Consort” dalam satu istiadat yang berlangsung pada Jumaat.

Lebih janggal, istiadat tersebut disaksikan isterinya, Permaisuri Jeneral Sutida Vajiralongkorn – yang dinikahi tiga bulan lalu mengikut tradisi dan undang-undang.

Istiadat yang disiarkan menerusi televisyen tempatan itu menyaksikan Raja Vajiralongkorn atau juga dikenali sebagai Raja Rama X mengurniakan Sineenat, 34, empat pingat termasuk Most Illustrious Order of Chula Chom Klao, 1st Class dan the Most Exalted Order of the White Elephant.

Mengikut laporan media antarabangsa, peranan gundik rasmi tidak pernah diiktiraf dalam kerajaan Thailand dan kali terakhir pelantikan tersebut adalah pada tahun 1921.

Bagaimanapun, pelantikan Sineenat yang juga merupakan bekas gundik dan pramugari Thai Airways adalah pertama kali dalam sejarah moden negara Gajah Putih itu.

Sebelum ini, Raja Rama X pernah berkahwin sebanyak tiga kali yang mana perkahwinan pertama adalah dengan sepupu baginda, Puteri Soamsawali Kitiyakara pada tahun 1977.

Pasangan itu bercerai dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Pada tahun 1994, Raja Thailand berkahwin dengan isteri kedua, Yuvadhida Polpraserth selepas memiliki lima anak dan bercerai dua tahun kemudian.

Sementara pada tahun 2001, Raja Rama X menikahi isteri ketiga dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Perkahwinan mereka bertahan selama 13 tahun sebelum berpisah pada tahun 2014.

Dua hari sebelum pertabalan Raja Rama X sebagai Raja Thailand, baginda mengumumkan telah berkahwin dengan isteri baharunya, Sutida, 40, yang berkhidmat dalam unit khas Pengawal Raja.

Pada 4 Mei lalu, Raja Maha Vajiralongkorn secara rasmi ditabalkan sebagai Raja ke-10 Dinasti Chakri pada istiadat pertabalan yang gilang-gemilang mengikut keagamaan Hindu dan Buddha.