Sekurang-kurangnya 13 pelancong warganegara Malaysia maut dalam satu kejadian kemalangan membabitkan sebuah bas pelancong yang terbabas di utara Thailand hari ini.

Kementerian Luar yang mengesahkan kejadian itu berkata ia berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi waktu Bangkok di daerah Doi Saket, Chiang Mai.

"Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand dalam memberi bantuan konsular yang diperlukan untuk mereka yang cedera dalam kemalangan itu serta menghubungi waris mangsa Malaysia.

"Kementerian Luar ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mereka yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya ini," kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini .

Kementerian itu berkata, mereka yang mencari maklumat yang berkaitan dengan kejadian itu boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di nombor telefon yang berikut: + 66-87-028-4659 , + 66-2-629 6800 dan + 66-2-629 6831

Sementara itu, Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian itu dan berkata seramai 22 orang warganegara Malaysia berada dalam bas malang terbabit ketika kejadian.

Tambahnya pihak polis telah mengesahkan 13 rakyat Malaysia telah meninggal dunia, empat orang cedera parah dan tiga orang cedera ringan.

Beliau turut berkata pihaknya masih sedang menunggu maklumat lanjut mengenai kemalangan.


pihaknya masih menunggu maklumat lanjut mengenai kemalangan.

Menurut laporan awal AFP, penyiasat memaklumkan kejadian berlaku sejurus tengahari di daerah Doi Saket, kira-kira 30 kilometer dari bandar Chiang Mai.

“Ketika ini dilaporkan 13 kematian, lapan wanita, lima lelaki,” kata jurucakap polis di balai polis Doi Saket.

Tambahnya, mangsa terdiri dari “warga Malaysia dan Thailand” namun tidak memberikan butiran lanjut kerana siasatan masih diteruskan.