Rakyat Thailand terus berkumpul di luar Hospital Siriraj di Bangkok untuk memberi sokongan spiritual kepada Raja Bhumibol Adulyadej yang sejak beberapa bulan lalu menerima rawatan atas pelbagai masalah kesihatan.

Perkongsian foto di portal berita Bangkok Post menunjukkan, orang ramai melakukan upacara berdoa dan bersembahyang untuk berkongsi rasa kasih sayang dan mengharapkan kesembuhan segera raja kesayangan mereka.

Ramai yang datang ke lokasi tersebut dan duduk di atas jalan sejak awal pagi untuk mendoakan kesejahteraan Raja Bhumibol.

Selain itu, bagi yang tidak dapat berada di kawasan hospital, mereka menzahirkan perasaan mereka melalui media sosial.

Sementara itu, ramai pengguna Facebook menukar gambar profil masing-masing dengan imej berlatar merah jambu dan mesej seperti ‘Semoga Raja dipanjangkan usia’. Mesej itu dalam Bahasa Thailand disertai motif hati berwarna kuning.

Orang ramai melakukan upacara berdoa dan bersembahyang untuk berkongsi rasa kasih sayang dan mengharapkan kesembuhan segera raja kesayangan mereka.

Warna kuning telah sekian lama merujuk kepada Raja Bhumibol dan warna itu sering digunakan rakyat Thai untuk menyatakan sokongan, kesetiaan dan kasih saying kepada institusi diraja.

Pengguna media sosial juga memuat naik gambar-gambar raja mereka dalam pelbagai peristiwa sama ada sewaktu zaman muda bersama keluarga di istana, ketika membuat lawatan bertemu rakyat jelata, mahupun sewaktu melakukan lawatan rasmi ke negara luar.

Pada Rabu, keadaan Raja Bhumibol secara keseluruhannya masih belum stabil dan hatinya tidak berfungsi secara normal. Darahnya juga menunjukkan tanda-tanda jangkitan, dan nadinya lemah.