Orang ramai menari kegembiraan di jalanan di Harare dan membunyikan hon sepanjang malam pada Selasa susulan pengumuman bahawa era pemerintahan Robert Mugabe kini telah berakhir.

Terdahulu, Mugabe meletak jawatan sebagai presiden Zimbabwe, seminggu selepas tentera dan bekas rakan sekutunya mengambil tindakan menamatkan kepimpinannya selepas hampir empat dekad berkuasa.

Penduduk di ibu negara meraikan detik bersejarah itu dengan menyanyi dan bersorak di jalanan bersama anggota tentera.

Mugabe, 93, terus memegang tampuk pemerintahan walaupun parti pemerintah ZANU-PF mendesaknya untuk berundur.

Beliau akhirnya meletak jawatan selepas parlimen memulakan proses pemecatan yang dilihat sebagai satu-satunya cara dari segi undang-undang untuk memaksanya keluar.