SEGALANYA tentang Rohingya dalam tempoh dua minggu ini hampir kesemuanya tidak indah.

Imej kezaliman serangan udara, potret cerminan keganasan rogol dan tamatkan riwayat, malah layanan lebih hina daripada haiwan, tiada langsung manusiawi segera menghantar bukan kecil kecaman sejagat.

Daripada riuh kejutan dunia cakap-cakap tidak menyangka pemimpin anti-Muslim, Donald Trump menang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, dalam dua minggu ini ia berganti pula gegak-gempita kritikan kepada rejim di Myanmar,menyambung lagi kepada janji bantuan kepada umat di sana.

Begitulah sekali sekali Rohingya mendapat perhatian dunia di celah-celah isu lain yang dianggap lebih besar.

Memang begitulah nasib Rohingya yang tidak diakui warganegara, bebas diperlakukan apa sahaja. Hujah sudah tiada makna lagi.

Betul salah bukan ukuran. Baik dan buruk hilang bezanya.

Umat ditindas dan kezaliman itu dikatakan mulia. Kalau dikatakan berlaku jenayah pembunuhan kaum Rohingya di Rakhine, entah percaya entah tidak. Jika tersentuh, terkejut sekali pun, menungnya barangkali hanya seketika.

Jika air mata kasihan, keinsafan mengalir, ia tumpul kembali dengan satu kesatan.

Rohingya

Derita Rohingya

Cerita derita Rohingya, kisah air mata yang berpanjangan tetapi amat banyak pengajarannya.

Silap jika kita hanya bersimpati. Kita yang perlu belajar daripada mereka.

Bahawa, kisah mereka ini ditindas, lari dan ditindas lagi, tiada yang simpati tetapi meneruskan survival hakiki _ adalah cerminan perjuangan umat yang mempamerkan segala yang baik dan buruk tentang tamadun manusia moden.

Rohingya jadi lambang perjuangan umat dan puncak kezaliman disebabkan sengketa agama. “Tetapi perlu ingat, di zaman moden ini sekali pun, tiada siapa yang boleh dihalau daripada tanah air sendiri, kerana elemen tamadun dan peradaban ialah saling hidup bermasyarakat secara harmoni,’’ tulis rakan saya yang juga bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Zin Mahmud menumpahkan pandangannya tentang krisis terbaharu menimpa Rohingya dalam sebuah akhbar.

Tulis Zin lagi, sejarah pentadbiran berubah di Myanmar (dahulunya Burma), kepimpinan juga bertukar ganti daripada tentera kepada awam daripada bapa Jeneral Aung San kini anak perempuan, Aung San Suu Kyi, tetapi nasib malang Rohingya masih tetap begitu, tidak berubah, entah kenapa, tidak difahaminya.

Suu Kyi

Alasan tindak balas

Kisah penindasan dan kezaliman ke atas Rohingya bukan hari ini dibicarakan.

Tahun ini sahaja beberapa kali pendedahan keganasan disebarkan. Lama sebelum itu, gelombang pelarian berduyun-duyun memasuki perairan negara, dicetus oleh tindakan provokasi di kampung halaman mereka.

Bagi mereka, keganasan yang tidak dapat dipikul itu jalan keluarnya ialah jihad atau melarikan diri.

Jika jihad mereka dituduh pula terlalu taksub maka itulah yang berlaku awal-awal keganasan dua minggu lalu.

Rejim menggunakan alasan memburu pengganas untuk menghalalkan serangan udara; penyembelihan; rogol wanita beramai-ramai dan segala macam tindakan lain yang tidak boleh diterima sebagai waras.

Sebagai pengkaji Rohingya, saya berdepan dengan pengakuan-pengakuan yang dikaitkan dengan “tindakan tidak waras” ini. Maka sebab itu di awal tulisan ini, saya kaitkan benar dan salah bukan ukuran lagi, kezaliman itu dikatakan mulia.

“Bahawa Rohingya itu lebih hina daripada anjing kurap, maka nyawa kami tiada harga sama sekali, sangat murah walaupun berbanding separuh daripada biskut kering.

Itulah kami di mata rejim tentera yang beragama Buddha,’’ luah seorang Ziaur Rahman, warga Rohingya yang menghubungi saya sambil membuat permintaan berkali-kali supaya sentiasa bangkitkan perjuangan umat minoriti tertindas ini.

Save Rohingya

Inisiatif Perubahan

Jika ada satu pengalaman paling berharga daripada kisah derita Rohingya ini, bagi saya adalah perlunya mengambil sendiri inisiatif untuk membawa perubahan.

Kita boleh sahaja boikot, perlawanan bola sepak misalnya; atau syor yang baik barangkali pertingkat tekanan, tinggikan darjah desakan kepada rejim juga boleh membantu.

Tidak juga salah andainya solat hajat, qunut manzil diadakan bagi tujuan mendoakan keselamatan saudara satu agama yang ditimpa kezaliman.

Tetapi, satu perkara yang perlu diingatkan bergantung kepada orang lain, sama ada negara-negara Arab atau masyarakat antarabangsa yang lebih besar kemungkinan menjadi alat kepentingan mereka. Inilah yang perlu dielakkan.

Pertimbangkan perkara ini. Nasib umat Islam di Palestin mula berubah dengan insiatif gerakan Fatah dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Ia mula menunjukkan hasil apabila rakyat bangkit melalui siri Intifadah. “Tetapi Rohingya bukan seperti Palestin,’’ kata Dr Khubye, penyelidik Rohingya yang kini bermastautin di Netherlands.

Katanya, Rohingya tiada kebangkitan, OIC tidak menyokong, malah tidak menyebutnya di pentas diplomatik antarabangsa, begitu juga ASEAN, tidak pedulikan kami. Bagaimana boleh disamakan dengan Palestin, soal beliau.

Hujah beliau itu saya jawab begini. “Rohingya ada NGO, Rohingya ada kekuatan dokongan umat Islam lain, Rohingya ada kekuatan untuk berjuang. Nah, apa lagi yang dimahukan? Tembok Berlin juga runtuh, walaupun sebelum ini mustahil untuk menjangkakan sedemikian.

Peka Rohingya

Rohingya


Saya mahu kaitkan Rohingya dan bantuan, khususnya dalam konteks di Malaysia.

Tidak dinafikan, rakyat Malaysia pemurah, pantang mana-mana pihak perlukan bantuan, pasti dihulur tanpa banyak bicara.

Dalam hal bantuan kepada Rohingya tidak terkecuali.

Malangnya, dalam begitu banyak bantuan dihulur itu, adakah ia benar-benar apa yang mereka perlukan. Pertimbangkan ini.

Beberapa wanita Rohingya yang menjadi mangsa rogol, sindiket pemerdagangan manusia, tetapi berjaya masuk ke Malaysia diberi pula kad pelarian sementara, tinggal di rumah sesak tidak mengapa, adakah memberi pakaian tidur yang masih baru dan mahal pula, boleh membantu mereka?

Apa yang diperlukan mereka saya fikir, nasihat dan kaunseling berada di tempat baharu, asing pula adalah lebih utama daripada menghulurkan bantuan pakaian tidur kain satin.

Itulah sebabnya, kita perlu faham bahasa derita mereka untuk berlaku adil kepada mereka. Bukankah adil itu adalah “meletakkan sesuatu di tempatnya”?

Bagi memahami bahasa derita mereka tentunya ada beberapa platform yang boleh diguna pakai antaranya forum, seminar dan melalui pembacaan.

Sebab itu, Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM) ada menganjurkan Forum Awam “Tangisan Rohingya Tiada Siapa Peduli” untuk menambah kepekaan mengenai Rohingya.

Antara lain matlamatnya mahu menjadikan masyarakat menambah ilmu sehingga terpanggil untuk membantu dengan apa jua cara untuk kemenangan mereka, umat Islam yang ditindas di medan perjuangan yang paling getir.

Forum ini berlangsung pada Sabtu, 26 November 2016 dengan tiga panel iaitu Azlinariah Abdullah, pengkaji Rohingya Institut Asia Eropah, Universiti Malaya, Abdul Ghani Abdul Rahman, Timbalan Presiden Rohingya Society in Malaysia dan Mohd Azmi Abd Hamid.