Ratusan ribu rakyat yang menentang langkah Brexit, atau penarikan Britain dari Kesatuan Eropah (EU), berarak menyeberangi kota London pada Sabtu, dalam usaha menuntut proses referendum yang baharu.

Selepas tiga tahun berlalu, masih belum pasti sama ada Brexit akan berjaya direalisasikan selepas Perdana Menteri United Kingdom Theresa May cuba mencari jalan keluar dari kemelut politik itu, sekurang-kurangnya untuk satu generasi.

Peserta membawa sepanduk berbunyi “the best deal is no Brexit” dan “we demand a People’s Vote” dalam perarakan anti-Brexit yang terbesar, digelar 'People's Vote march' itu.

Perarakan pro-EU itu bermula di Marble Arch, salah satu sudut di Taman Hyde, sebelum merentasi mercu tanda seperti Picadilly Circus dan Trafalgar Square, melepasi pejabat Perdana Menteri di Downing Street, dan berakhir di luar bangunan Parlimen.

Penganjur menganggarkan sekitar satu juta rakyat menyertai perarakan itu, melebih jumlah yang dicapai pada Oktober lepas, iaitu sekitar 700,000 orang.