Tentera rejim Israel telah menyerbu kawasan perkampunan Palestin di Nablus, Tebing Barat, selepas seorang warga Israel ditembak mati di kawasan berdekatan.

Kejadian tembakan pada Selasa berlaku di sebuah jalan utama berdekatan penempatan haram Israel di pangkalan luar Havat Gilad, kawasan sama warga Israel terlibat dilaporkan tinggal.

Lelaki berusia 35 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan tembakan di sebuah hospital berdekatan Tel Aviv.

Menurut laporan Al Jazeera, tentera rejim Israel menyerbu perkampungan Tell dan Sarra di kawasan utara Nablus.

Pertelingkahan dilaporkan berlaku di Sarra di mana penduduk haram Israel membaling batu ke arah beberapa kereta milik rakyat Palestin.

Tentera Israel menerusi posting di Twitter turut melaporkan tentera mereka sedang mencari suspek yang dipercayai menembak lelaki itu di kawasan Nablus.

Pangkalan luar Havat Gilad yang dibina pada 2002 dianggap haram menurut undang-undang antarabangsa dan undang-undang Israel.

Penempatan itu melanggar Konvensyen Geneva Keempat yang menyatakan bahawa pihak yang merampas atau menduduki sesuatu kawasan secara paksa tidak boleh mengalih penduduk asal dan menggantikanya dengan warga mereka.