Mayat seorang remaja lelaki albino berusia 15 tahun ditemukan dikerat di Burundi seminggu selepas mangsa dilaporkan hilang.

Ia adalah pembunuhan pertama seumpamanya di negara itu dalam tempoh tiga tahun, kata kumpulan albino tempatan pada Ahad.

Remaja itu ditemui mati pada petang Sabtu di barat laut negara itu di tepi sungai Rusizi yang memisahkan Burundi dari Republik Congo, tidak jauh dari kampung halamannya.

“Pembunuhnya memotong kaki kanan mangsa di paras lutut, lengan kanan dan lidahnya,” kata Kassim Kazungu, ketua persatuan tempatan Albinos Without Borders.

Golongan albino yang mempunyai kulit putih dan rambut kuning akibat gangguan genetik disebabkan ketiadaan pigmentasi kerap dibunuh di beberapa negara Afrika untuk diambil anggota badan mereka bagi kegunaan ritual sihir.

Lebih 20 albino dibunuh di Burundi sejak 2008 dengan kes terakhir pada 2016 apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun ditemukan mati dikerat selepas diculik dari rumahnya.

Kazungu berkata, seorang kanak-kanak lelaki albino berusia 4 tahun hilang sejak Oktober 2018 dari kampung Cendajuri berhampiran sempadan Tanzania, tetapi beliau tidak menaruh harapan untuk menemuinya dalam keadaan selamat.