Seorang remaja 14 tahun yang bersekolah di Jane Long Academy, Houston, Texas, Amerika Syarikat meninggal dunia selepas terlibat dalam satu pergaduhan gara-gara berebut kek brownies.

Kejadian pada Jumaat itu berlaku di luar sebuah kedai serbaneka selepas tamat sesi persekolahan.

Pihak berkuasa memberitahu, berlaku perselisihan antara mangsa dengan seorang lagi pelajar. Dalam pertelingkahan itu, mangsa yang merupakan pelajar gred 8 telah ditikam di bahagian mata.

Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Memorial Hermann untuk rawatan kecemasan, namun pihak hospital mengesahkan meninggal dunia akibat daripada jangkitan kuman pada kesan lukanya.

Pada hari yang sama, seorang suspek berusia 14 tahun telah ditahan polis. Bagaimanapun, oleh kerana mangsa dan suspek di bawah usia, identiti mereka dirahsiakan.

Seorang kawan kepada mangsa berkata: "Semuanya gara-gara kek brownies. Kes ini tidak masuk akal. Saya rasa suspek itu tidak satabil mentalnya hingga sanggup mengeluarkan pisau dan menikam mangsa."