Remaja perempuan Arab Saudi yang sebelum ini terkandas di lapangan terbang di Bangkok, Thailand selepas melarikan diri dari Kuwait kini sudah dalam penerbangan ke kanada berikutan sudah mendapat kelulusan perlindungan suaka.

Rahaf Mohammed al_Qunun telah berlepas ke Toronto pada Jumaat malam setelah Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mengumumkan bakal memberikan suaka kepadanya.

Agensi berita AFP melaporkan, Trudeau berkata, Kanada sering memperjuangkan soal hak asasi manusia, terutamanya bagi wanita, di seluruh dunia.

"Oleh sebab itu, ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta kami mempertimbangkan status suaka kepada Rahaf, kami segera menerimanya," ujar Trudeau.

BACA: Remaja Saudi mohon perlindungan suaka hapus akaun Twitter selepas ancaman bunuh

Sebelum ini, Rahaf terkandas di ruang transit Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok kerana berdepan masalah birokrasi dan kelulusan Imigresen Thailand berikutan perancangan permohonan suakanya.

Remaja berkenaan pada awalnya merancang perjalanan ke Australia untuk tujuan berkenaan.

Sewaktu menginap di hotel transit di lapangan terbang di Bangkok, Rahaf menggunakan akaun media sosialnya untuk meraih perhatian dunia. Kempen dengan hashtag #SaveRahaf telah tular selepas itu.

Bagaimanapun, Rahaf dilaporkan menutup akaun Twitternya selepas menerima ancaman bunuh daripada keluarganya yang 'tidak merestui' tindakannya melarikan diri dari Arab Saudi.

Langkah Kanada meluluskan perlindungan suaka bagi Rahaf dilihat bakal mencetus ketegangan hubungan antara Kanada dan Arab Saudi.