Hampir tujuh tahun!

Itulah tempoh di mana lebih 2,700 tan bahan kimia ammonium nitrat yang menjadi punca letupan besar di bandar pelabuhan di ibu negara Lubnan pada Selasa gagal diurus dengan baik di lokasi penyimpanan.

Meskipun menyedari akan risikonya, namun dalam tempoh itu tiada kata putus dibuat meskipun pemimpin pihak berkuasa silih berganti.

Dipercayai tiada langkah keselamatan dan kesepakatan semua pihak antara punca berlakunya letupan dahsyat itu sehingga mengorbankan ratusan nyawa.

Ammonium nitrat antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bom selain turut digunakan dalam aktiviti komersial seperti baja dan bahan peledak perlombongan.

Sekitar September 2013, bahan itu dilaporkan selamat mendarat di Beirut dengan menggunakan sebuah kapal yang mempunyai bendera Moldovan milik Rusia dalam perjalanan ke Beira, Mozambik dari Batumi, Georgia.

Kapal itu berlabuh di Beirut setelah mengalami masalah enjin.

Berikutan itu, pegawai Lubnan menghalang kapal itu untuk meneruskan perjalanan kerana mengambil kira faktor keselamatan.

Pada ketika itu juga, sebahagian besar kru dari Ukraine dihantar pulang kerana kapal tersebut dikhuatiri mendatangkan bahaya dan akhirnya ditinggalkan pemiliknya.

Selepas itu, pihak berkuasa Lubnan menahan kapal kargo itu dan 'menyimpannya' di sebuah gundang besar di pintu masuk utama ke ibu kota.

Setelah beberapa bulan bahan itu disimpan di gudang tersebut, Pengarah Kastam ketika itu, Shafik Merhi menghantar surat kepada badan kehakiman bagi mendesak langkah sewajarnya diambil ke atas bahan berbahaya itu.

Dalam usaha itu, lima siri surat dikirim antara 5 Disember 2014 dan 27 Oktober 2017 oleh pegawai Kastam Labenon dengan meminta agar bahan itu perlu dipindahkan sama ada mengeksport atau menjual kepada pihak berkepentingan.

Dalam sepucuk surat yang dihantar pada tahun 2016 telah memaklumkan tentang bahaya menyimpan bahan itu dalam keadaan suhu atau cuaca yang tidak sesuai.

Kesemua surat yang dikirim itu bagaimanapun tidak dibalas pihak berkuasa.

Setahun kemudian, pada Oktober 2017, Pengarah Kastam baharu, Badri Daher turut mengirim surat lain kepada pihak berkuasa yang meminta keputusan dan mempertimbangkan aspek keselamatan umum, khususnya mereka yang berada di kawasan berkenaan.

Kealpaan pihak bertanggungjawab diterjemah pada Selasa, 4 Ogos 2020 apabila percikan api daripada petugas kimpalan berhampiran lokasi kejadian mencetuskan kebakaran dan kemudiannya letupan yang mengorbankan lebih 170 nyawa dan mencederakan ribuan yang lain.

Sebelum ini, agensi berita Reuters melaporkan bahawa isu menyimpan bahan itu mampu meledakkan seluruh Beirut jika tidak diambil tindakan segera.