Berita  | Dunia

Ribuan bantah RUU seks luar nikah, rasuah di Indonesia

Ribuan bantah RUU seks luar nikah, rasuah di Indonesia
Demonstrasi turut diadakan di bandar lain seperti Yogyakarta dan Makassar. -Foto Antara
JAKARTA: Protes besar-besaran bagi membantah kanun jenayah baharu yang antara lain mengharamkan seks luar nikah dan seks sejenis di Indonesia telah diadakan semalam di Jakarta.

Undang-undang baharu yang bakal digubal itu juga membolehkan kesalahan dikenakan terhadap sesiapa yang menghina presiden, naib presiden, agama, institusi dan simbol negara seperti bendera dan lagu kebangsaan, lapor BBC.

Selain itu, undang-undang baharu itu juga membolehkan hukuman penjara dikenakan ke atas individu yang disabit kesalahan melakukan sihir dan juga pengguguran janin yang bukan akibat rogol atau atas faktor kesihatan.

Portal DW melaporkan Parlimen Indonesia juga bakal membahaskan RUU berkaitan rasuah yang merupakan masalah besar di negara itu.

RUU jenayah baharu itu telah lama dirangka, namun diperkenal semula pada 2015 bagi menggantikan Kanun Jenayah era Belanda yang telah berusia 100 tahun, lapor CNN.

Menurut Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Indonesia, Yasonna Laoly, RUU baharu ini akan menjadikan RUU jenayah negara itu lebih sepadan dengan gaya hidup warganya masa kini.
 
"Kami mahu ganti Kanun Jenayah kepada yang baharu untuk memfokus kepada undang-undang dalam perspektif Indonesia.

"Ia kerana ada akta dalam Kanun Jenayah semasa yang tidak lagi sesuai untuk Indonesia," kata Yasonna.

Protes yang turut disertai ribuan penuntut universiti itu juga diadakan di bandar utama lain seperti Yogyakarta dan Makassar dalam usaha menolak rang undang-undang (RUU) tersebut.

Beberapa peserta protes nekad memanjat pagar Parlimen untuk menggantung kain rentang bagi menzahirkan bantahan mereka, lapor media tempatan.

Jumaat lalu, Presiden Joko Widodo atau Jokowi menangguhkan undian terhadap rang undang-undang kontroversi terbabit yang dirancang pada hari ini.

Beliau turut memaklumkan 14 artikel masih perlu disemak sebelum dibahaskan Parlimen yang akan memulakan penggal baharu pada bulan depan.

"RUU itu ditangguhkan supaya kami dapat input yang lebih sesuai mengikut apa yang diinginkan rakyat," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen, Mulfachri Harahap memberitahu beliau berharap versi baharu undang-undang itu boleh diundi sebelum akhir bulan ini.

"Walaupun ada artikel yang dianggap bermasalah, ia tidak banyak dan boleh dibahaskan," ujarnya.

Pengkritik mendakwa RUU tersebut melanggar kebebasan bersuara dan mendiskriminasikan agama minoriti, wanita serta golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Bagaimanapun, kumpulan terbesar Muslim di negara itu, Nahdlatul Ulama melihat perubahan itu mencerminkan karakter dan personaliti rakyat serta negara Indonesia yang majoriti penduduknya adalah orang Islam.