BERIBU-ribu rakaman sesi persidangan video dalam talian pengguna perkhidmatan Zoom, termasuk membabitkan sesi bersifat peribadi dan mesyuarat perniagaan, dikatakan terdedah di laman web terbuka.

The Washington Post melaporkan, pemerhatian mereka turut mendapati rakaman persidangan yang mendedahkan rekod kewangan sulit serta kelas dalam talian dapat disaksikan oleh pengguna internet tanpa sekatan.

Terdapat juga rakaman video membabitkan peserta tidak berpakaian, termasuk sesi pakar kecantikan mengajar pelajar cara untuk melakukan 'Brazilian wax'.

Laporan itu menyebut, sesi video Zoom tidak dirakam secara default tetapi pemanggil (host) boleh memilih untuk merakam dan menyimpannya di dalam pelayan Zoom atau komputer sendiri tanpa memerlukan kebenaran peserta persidangan yang lain.

Bagaimanapun, semua peserta persidangan video itu akan menerima pemberitahuan apabila sesi itu direkodkan.

Zoom dalam kenyataan dilaporkan berkata ia 'menyediakan cara yang selamat untuk pengguna menyimpan rakaman' dan menyediakan garis panduan mengenai bagaimana mereka boleh meningkatkan keselamatan panggilan.

Aplikasi persidangan video Zoom telah menyaksikan lonjakan populariti terutama di Amerika Syarikat serta negara lain berikutan langkah sekatan pergerakan akibat COVID-19, sekali gus menyebabkan banyak sesi kelas dan mesyuarat dilakukan secara dalam talian.

Ketua Pegawai Teknologi Privasi Ketua teknologi Disconnect, Patrick Jackson, yang juga bekas penyelidik Agensi Keselamatan Negara Amerika Syarikat yang memaklumkan The Post mengenai pendedahan data itu, mendakwa Zoom sepatutnya memberi peringatan lebih serius kepada pengguna supaya melindungi video mereka.

Beliau juga mencadangkan supaya syarikat itu menukar kaedah penamaan video bagi meyukarkan carian video di medium tidak sepatutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Zoom, Eric Yuan, dilaporkan mengakui perkhidmatan itu kini digunakan jauh lebih luas daripada yang pernah dibayangkan ketika beliau mengasaskan syarikat itu pada tahun 2011.

"Kami tidak mereka bentuk produk ini dengan pandangan jauh bahawa, dalam masa beberapa minggu sahaja, setiap orang di dunia tiba-tiba akan bekerja, belajar, dan bersosial dari rumah," katanya.

Yuan juga memohon maaf kerana Zoom gagal mempertahankan 'kehendak privasi dan keselamatan' pengguna dan berkata syarikat itu akan membekukan pengenalan ciri-ciri baru selama 90 hari sebaliknya mengarahkan jurutera mereka untuk menangani masalah keselamatan dengan segera.