Angka kematian daripada Ribut Tropika Tembin di Mindanao, Filipina meningkat ke hampir 200 orang sehingga awal pagi Ahad.

Jumlah kematian dijangka terus meningkat, dengan lebih 150 orang masih lagi hilang.

Pihak berkuasa terus bertungkus-lumus melakukan operasi mencari dan menyelamat terutama di kawasan petempatan sekitar sungai.

Menurut laporan AFP, paras sungai di kawasan kampung Dalama meningkat mendadak dan menghanyutkan kebanyakan rumah di kampung tersebut.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa Ribut Tropika Tembin diteruskan di kawasan yang teruk terjejas di Lanao del Norte (foto: Reuters)

Kawasan yang turut terjejas termasuk sekitar Sungai Salog di bandar Sapad.

Pulau kedua terbesar di Filipina, Mindanao, mempunyai 20 juta penduduk dan dibadai lebih 20 ribut skala besar setiap tahun.

Sehingga kini kawasan yang teruk terjejas adalah Tubod, Salvador dan Sapad yang berada di wilayah Lanao del Norte.

Menurut laporan AFP, kawasan penempatan yang berada berdekatan dengan sungai musnah dihanyutkan arus deras (foto: Reuters)

Wilayah lain yang turut menyaksikan angka kematian tinggi adalah kawasan perikanan di Zamboanga.

Menurut pihak berkuasa Salvador, penduduk di kawasan berkenaan telah diberikan amaran berkali-kali, namun mereka yang tinggal berdekatan dengan sungai degil dan enggan pindah.

Operasi mencari dan menyelamat menjadi sukar susulan kejadian tanah runtuh.

Ribut Tembin melanda kawasan yang sama seminggu selepas Ribut Tropika Kai-Tak yang mengakibatkan 54 orang terbunuh dan 24 orang hilang di kawasan tengah Filipina.