Bekas atase tentera Malaysian di Wellington yang diekstradisi ke New Zealand, hari ini mengaku bersalah melakukan serangan seksual.

Muhammad Rizalman Ismail, 38, yang berdepan dengan tuduhan dalam kes itu pada tahun lepas, telah meninggalkan negara itu untuk datang ke Malaysia dengan menggunakan imuniti diplomatiknya.

Namun, dia telah diekstradisi ke negara itu untuk menghadap mahkamah di sana.

Muhammad Rizalman berdepan dengan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atas tuduhannya.

Mahkamah dijadualkan mendengar hujah berhubung fakta yang dipertikaikan Jumaat ini sebelum menjatuhkan hukuman.

Menurut ringkasan polis, ketika kejadian pada Mei 2014 itu, mangsa, Tania Billingsley, 21, sedang menonton filem di dalam bilik tidurnya ketika Muhammad Rizalman memasuki rumah yang tidak berkunci itu dengan hanya memakai baju sahaja.


Ringkasan itu turut menyebut, wanita itu menjerit dan Muhammad Rizalman hanya sempat memegang bahu mangsa sebelum Billingsley melepaskan diri dan menelefon polis dari bilik airnya.

Pendakwa raya Grant Burston berkata, apabila berdepan situasi sebegitu, mangsa berasa amat takut.

Namun peguam bela untuk Muhammad Rizalman, Donald Stevens berkata, sebelum kejadian itu berlaku, anak guamnya dan mangsa telah pergi menonton wayang bersama-sama. Bagaimanapun, perkara itu belum dapat disahkan lagi.

Hakim David Collins berkata jika hukuman tahanan rumah dikenakan, Muhammad Rizalman akan dibenarkan melakukannya di kedutaan Malaysia di New Zealand.