RODA Ferris terbesar di Amerika Latin mula dibuka kepada umum pada Jumaat.

Orang ramai di Rio de Janeiro, Brazil mula beratur untuk merasai pengalaman menaiki roda Ferris dengan ketinggian 88 meter itu.

Apa yang menarik, roda ferris itu direka khas bersesuaian dengan persekitaran Amerika Latin menerusi pemasangan pendingin hawa serta penyembur angin istimewa.

Menurut Pengarah Eksekutif FW Investment, Fabio Bordin, syarikat itu berbangga dengan pelancaran roda Ferris yang dianggap terbesar di Amerika Latin itu.

"Paling penting adalah lokasinya. Walaupun nampak kecil tetapi sebenarnya besar.

"Ia tidak kecil kerana roda Ferris ini setinggi 88 meter.

“Dari atas anda boleh boleh lihat tugu Christ the Redeemer dan Sugar Loaf serta pemandangan dari atas. Terdapat beberapa kawasan pelancongan yang boleh dilihat sepanjang 20 minit pusingan itu,” jelasnya.

Apa yang menarik, roda ferris itu direka khas, bersesuaian dengan persekitaran Amerika Latin menerusi pemasangan pendingin hawa serta penyembur angin istimewa. Foto: Reuters

Orang ramai pastinya tidak melepaskan peluang menaiki roda Ferris itu bagi meninjau bandar Niterói dari ketinggian 88 meter.

Salah seorang pengunjung terawal, Eduardo Golti teruja dengan pemandangan 360 darjah dari atas roda Ferris itu.

“Anda boleh melihat pemandangan bandar dengan 360 darjah, anda juga boleh melihat tempat pelancongan, dan kawasan Niterói.

“Bagi anda yang mengetahui bandar itu, anda tahu dimana kediaman anda. Ia sangat berbaloi dan menarik,” katanya.

Difahamkan strukur roda Ferris itu dibina di China dan dihantar ke Brazil menggunakan tiga penghantaran berbeza.

Dengan 54 kabin pada roda Ferris itu, lebih 400 pengunjung berpeluang menaikinya dalam satu masa.