Venue persembahan popular di London, Royal Albert Hall (RAH), berisiko gulung tikar menjelang ulang tahunnya yang ke-150 pada tahun depan, melainkan jika pihak penguruisannya berjaya mendapatkan dana dalam masa terdekat.

Dewan ikonik itu hilang pendapatan kira-kira £12 juta (RM64 juta) sejak terpaksa menutup operasinya berikutan perintah berkurung yang dikuatkuasakan sejak Mac lalu.

Teater dan dewan konsert akan kembali dibuka pada 4 Julai depan, namun persembahan secara langsung belum dibenarkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Craig Hassall memberitahu situasi yang tidak pasti telah meletakkan RAH dalam keadaan yang paling 'berbahaya' malah berdepan kemungkinan terpaksa memberhentikan ratusan kakitangan.

"Tidak ada panduan dari kerajaan tentang cara untuk kami kembali beroperasi. Tanpa panduan, mustahil untuk kami meneruskan perniagaan seperti biasa," kata Hassall.

RAH telah membuat pinjaman £5 juta (RM26.7 juta) untuk membantu mereka terus bertahan, tetapi masih memerlukan £10 juta (RM53 juta) lagi untuk mengelakkannya bankrup.

Penjarakan sosial, kata Hassall, tidak akan membantu mereka kembali pulih.

Ini kerana, sebilangan besar dewan teater dan konsert memerlukan kapasiti 80 peratus untuk memperoleh keuntungan.

"Selagi penjarakan sosial diperlukan, industri muzik secara langsung tidak akan boleh terus hidup," tambah Hassall.

Venue itu juga dekat di hati rakyat Malaysia, kerana penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pernah melangsungkan konsert di situ pada tahun 2005, manakala Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad juga pernah memenangi anugerah Penghibur No. Satu Asia selepas muncul juara pertandingan Asian Popular Music Awards di situ pada tahun 1989.