Seorang wartawan CNN dan jurukamera ditahan polis ketika sedang bersiaran secara langsung berhampiran lokasi rusuhan di Minneapolis, Minnesota, pada pagi Jumaat.

Mereka dibebaskan selepas lebih satu jam dalam tahanan, selepas perbincangan antara Presiden CNN Worldwide, Jeff Zucker, dengan Gabenor Minnesota, Tim Walz.

Menurut laporan, penahanan kedua-dua mereka dilakukan oleh pegawai polis peronda Minnesota, namun sebab mereka ditahan tidak diperincikan.

"Ketika itu kami sedang bersiaran dan kami mula bergerak kerana tidak mahu mengganggu tugas pihak berkuasa yang melakukan kawalan.

"Tetapi ada perusuh yang lari di hadapan kami dan ditahan, jadi kami juga turut ditahan.

"Keadaan terkawal, pihak berkuasa melayan kami dengan baik dan mereka tidak guna kekerasan," kata wartawan terbabit, Omar Jiminez.

Jurucakap Polis Minnesota dalam satu kenyataan berkata penahanan itu dibuat susulan tindakan pihak berkuasa menyuraikan perusuh.

"Anggota kami mengambil tindakan untuk menyuraikan perusuh di kawasan berkenaan dan menahan empat individu termasuk tiga petugas CNN.

"Mereka dibebaskan setelah disahkan sebagai anggota media."

Beberapa organisasi media lain mengecam penahanan itu, yang menyifatkan dua kru terbabit hanya menjalankan tugasan mereka dengan baik dalam situasi mencabar.

"Orang ramai memerlukan wartawan untuk memberi maklumat," kata satu kenyataan dari MSNBC.

Hari ini masuk hari ketiga bandar Minneapolis bergolak dengan penunjuk perasaan yang merusuh membantah kematian seorang peguam, George Floyd.

Rakaman video menunjukkan anggota polis bertindak secara agresif ketika menahan Floyd.

George dilihat merayu kepada pihak polis yang bertindak melutut atas lehernya sehingga dia tidak boleh bernafas.

Insiden berkenaan mencetuskan sekali lagi kemarahan orang ramai berhubung keganasan polis terhadap komuniti kulit hitam di Amerika Syarikat.