Sebuah syarikat penyelidikan perubatan di London menawarkan ganjaran kira-kira RM38,000 kepada sesiapa yang sanggup dijangkiti koronavirus.

Ia bagi menjalankan penyelidikan dan mempercepat proses penemuan vaksin bagi COVID-19.

Lapor portal berita 9news, mereka yang berminat akan didedahkan kepada virus itu secara sengaja dan diletakkan dalam bilik berasingan di makmal selama dua minggu, serta tidak dibenarkan mengadakan hubungan fizikal dengan orang lain.

Syarikat penyelidikan yang dikenali sebagai Hvivo itu juga berkata, sukarelawan yang berminat akan diberikan diet yang terhad.

Namun, sukarelawan bagaimanapun tidak akan dijangkiti dengan SARS-CoV-2, punca penyakit COVID-19, sebaliknya hanya diberi jangkitan koronavirus 0C43 dan 229E, iaitu sejenis koronavirus yang lebih ringan.

Terdapat banyak jenis koronavirus yang direkodkan dalam penyelidikan setakat ini dan SARS-CoV-2 dikatakan antara jenis yang paling mudah berjangkit dan membunuh hidupan.

BACA: COVID-19: 2 lagi kematian di UK

Tambah Hvivo lagi, uji kaji berkenaan akan dilakukan secara berkumpulan ke atas 24 individu.

Hvivo juga menggunakan kajian kuarantin yang dikenali sebagai "FluCamp", iaitu kajian yang kerap digunakan bagi mengkaji pelbagai virus seumpamanya.

“FluCamp adalah langkah terbaik untuk menghindarkan gangguan dan lebih fokus.

“Tidak kira individu itu masih belajar, bekerja atau kedua-duanya, FluCamp akan memberikan sukarelawan kelebihan untuk dijaga dengan baik.

“Kami menggalakkan mereka yang sihat untuk menjadi sukarelawan dan menghargai usaha kami untuk mencari penawar bagi penyakit,” kata jurucakap syarikat itu.




BACA: 110,000 orang dijangkiti COVID-19 di seluruh dunia

Bagaimanapun, jelasnya, kajian ini masih belum diluluskan oleh pengawal selia penyelidikan perubatan United Kingdom.

Pakar percaya vaksin untuk COVID-19 mungkin boleh ditemukan tahun depan.

Lebih 113,000 orang di seluruh dunia telah disahkan menghidap COVID-19 dengan lebih 4,000 disahkan meninggal dunia.