Prosiding inkues bagi mencari kebenaran di sebalik kematian Emiliano Sala dalam insiden pesawat terhempas ke laut pada 21 Januari lalu mendapati pemain bola sepak itu mengalami kecederaan parah di kepala dan tubuh.

Laporan bedah siasat yang dibentangkan dalam inkues berkenaan juga memaklumkan tubuh mendiang Sala dikenal pasti menerusi ujian cap jari yang dilakukan.

Bangkai pesawat yang dinaiki Sala ditemui dan kekal di dasar laut sehingga kini.

Tubuh pemain bola sepak itu dijumpai namun juruterbang David Ibbotson tidak dapat dikesan.

Pegawai koroner kanan Ian Parry memberitahu, berdasarkan siasatan, pesawat yang dinaiki Sala terletak di dasar laut dalam perairan antarabangsa.

"Berikutan pemeriksaan yang lebih teliti di tempat kejadian, badan Sala yang kemudian dikenal pasti dijumpai. Bagaimanapun, setakat ini juruterbang, Encik Ibbotson, masih belum dijumpai," katanya sambil memberitahu pihak berkuasa akan meneruskan pencarian.

Inkues yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian Sala ditangguhkan sehingga 6 November.

Menurut undang-undang, inkues akan diadakan untuk menjalankan siasatan mendalam berhubung sesuatu secara tiba-tiba atau yang tidak dapat dijelaskan.

Dianggotai oleh sebuah kumpulan yang dilantik oleh mahkamah, tugas anggota berkenaan ialah melakukan penyiasatan termasuk pemeriksaan perubatan oleh seorang koroner bagi mengenal pasti sebab kematian sama ada secara mengejut atau menimbulkan kesangsian

Sementara itu, kempen mengumpul dana bagi memulakan semula pencarian bagi menjejaki Ibbotson pula hampir menuju sasaran iaitu £300,000 (RM1.38 juta).

"Jika anda mempunyai harapan maka anda tidak harus berputus asa," kata anak Ibbotson, Danielle kepada stesen televisyen ITV.

Dalam insiden pada 21 Januari lalu, Sala, 28, yang menandatangani kontrak untuk bermain dalam Liga Perdana Inggeris, mewakili Cardiff City berada dalam pesawat itu menuju Nantes di barat Perancis bersama juruterbangnya bagi membuat penampilan pertama bersama Cardiff.

Bagaimanapun, pesawat yang dinaikinya itu tiba-tiba hilang dari radar.