Tutup

Berita  | Dunia

Salahkan anak muda, Menteri Kewangan India 'kena bahan' di media sosial

Salahkan anak muda, Menteri Kewangan India 'kena bahan' di media sosial
Nirmala menyalahkan anak muda yang tidak mahu membeli kenderaan sebagai salah satu faktor menyebabkan penurunan berterusan sektor automotif India. REUTERS/Fail
GARA-GARA membuat kenyataan yang dianggap sensasi kerana menyalahkan cara pemikiran anak muda, seorang menteri kewangan di India menjadi tohmahan golongan itu.

Menteri Kewangan India Nirmala Sitharaman pada Selasa berkata, penurunan berterusan dalam sektor automotif negara itu adalah disebabkan golongan Millennial (anak muda) yang tidak mahu membeli kenderaan.
“Industri automobil dan komponen telah terjejas akibat... pemikiran Millennial yang lebih gemar menggunakan perkhidmatan 'ride-hailing' seperti Ola dan Uber,” katanya kepada media, mengulas sektor automobil India yang mengalami kelembapan terburuk dalam beberapa tahun kebelakangan. 

Kenyataan itu sekali gus membuatkan menteri tersebut menjadi bahan troll di media sosial oleh anak muda.
Golongan millennial mula berang dengan dakwaan menteri itu dan tidak mengambil masa yang lama untuk 'membahan' Nirmala dengan pelbagai meme atau jenaka di media sosial masing-masing, menggunakan #BoycottMillennials.


Nirmala pada Selasa mendakwa kelembapan dalam sektor automotif negara itu dapat dikesan melalui beberapa faktor tetapi turut menyebut bahawa golongan millennial juga merupakan salah satu punca sektor itu menurun.

Menteri itu mendakwa bahawa ribuan golongan millennial lebih suka memilih teksi atau keretapi metro daripada mengambil komitmen membuat pinjaman bank bagi membiayai kenderaan mereka sendiri.



Bulan Ogos menyaksikan penurunan penjualan kereta dalam negara itu jatuh sebanyak 31.6 peratus tahun ke tahun dan ia merupakan jumlah paling rendah sejak 1997-98.

Jualan pada bulan Julai turun 18.71 peratus daripada tahun sebelumnya serta menandakan penurunan paling ketara dalam sektor itu hampir dua dekad.