Tutup

Berita  | Dunia

Saudi didakwa godam telefon Jeff Bezos, PBB gesa siasatan

Saudi didakwa godam telefon Jeff Bezos, PBB gesa siasatan
Pelapor khas PBB percaya bahawa Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman mempunyai agenda untuk mensasarkan Jeff Bezos yang merupakan pemilik akhbar The Washington Post. Gambar fail.
SUSULAN  kontroversi Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman didakwa menggodam telefon bimbit pengasas Amazon dan pemilik The Washington Post, Jeff Bezos, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar siasatan dijalankan berhubung kes itu.

“Maklumat yang kami terima mencadangkan bahawa Putera Mahkota mungkin terlibat dalam pengawasan ke atas Bezos, dalam usaha untuk mempengaruhi, kalau bukan memaksa untuk berdiam diri berhubung laporan The Washington Post mengenai Arab Saudi,” kata pelapor khas PBB Agnes Callamard dan David Kaye.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, mereka menggesa agar siasatan dijalankan oleh Amerika Syarikat dan pihak berkuasa lain ke atas penggodaman itu serta beberapa kes lain yang melibatkan Mohammed.

“Dakwaan itu mengukuhkan laporan lain bahawa terdapat sebuah corak dalam tindakan (Arab Saudi) untuk menjalankan pengawasan terhadap beberapa individu yang dianggap sebagai musuh serta mereka yang mempunyai kepentingan strategik kepada Saudi.
“Dakwaan itu relevan kerana kita juga sedang menilai penglibatan Putera Mahkota dalam pembunuhan wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi pada 2018.”

Agnes dan David percaya bahawa Arab Saudi mempunyai agenda untuk mensasarkan Jeff kerana beliau merupakan pemilik akhbar The Washington Post.

Namun, Kedutaan Arab Saudi di Washington pada Rabu menafikan sebarang penglibatan dalam penggodaman itu.

Kedua-dua pakar PBB itu mengulas mengenai siasatan forensik terhadap iPhone milik Jeff yang mendapati bahawa ia digodam menerusi fail video MP4 yang dihantar oleh akaun Whatsapp peribadi Mohammed Salman pada 1 Mei 2018.

Siasatan itu juga mendapati bahawa Mohammed dan Jeff bertukar nombor telefon sebulan sebelum penggodaman berlaku.

Hanya beberapa jam susulan video tersebut diterima Jeff, data dalam telefonnya mula dikeluarkan - mencatat peningkatan dalam kadar pengeluaran data sebanyak 29,156 peratus, kepada 126MB.

Pengeluaran data tersebut diteruskan selama beberapa bulan selepas itu dengan kadar yang mencatat peningkatan 106,032,045 peratus berbanding sebelum penggodaman.

Pihak penyiasat percaya telefon tersebut digodam menggunakan sebuah malware Pegasus-3, yang dilaporkan pernah dibeli dan digunakan oleh kerajaan Saudi.

Menurut siasatan forensik itu, penggodaman berlaku antara bulan Mei dan Jun 2018 apabila telefon bimbit milik dua kenalan Jamal Khashoggi iaitu Yahya Assiri dan Omar Abdulaziz, turut digodam menggunakan malware Pegasus.

Tegas kedua-dua pelapor khas PBB itu, mereka ingin meneruskan siasatan ke atas pembunuhan Khashoggi serta industri pengawasan secara keseluruhan yang membenarkan penggodaman berlaku terhadap wartawan, pembela hak asasi manusia dan pemilik organisasi media.