DUNIA
'Saya baik-baik saja', kata PM Singapura

Hsien Loong akan berlepas ke China pada Jumaat (2 September) untuk tugas rasmi. - Gambar fail
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, berkata beliau kini dalam keadaan baik, selepas dua minggu insiden hampir jatuh pitam sewaktu menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan republik itu pada 21 Ogos lalu.
Portal berita Channel News Asia melaporkan, Hsien Loong berkata demikian sewaktu rakaman program ‘The Prime Minister on Race and Politics’ yang bakal disiarkan tidak lama lagi.
“Saya baik-baik saja. Para doktor memantau sepenuhnya keadaan saya sejak malam kejadian dan mengambil kira semua faktor yang mungkin menyebabkan insiden itu berlaku.
“Akhirnya mereka merumuskan bahawa saya mengalami sinkop vasovagal. Ia merujuk kepada keadaan seseorang yang pitam sejurus berdiri. Ia tidak menjadi lebih buruk daripada itu,” ujar beliau yang kini kembali bertugas selepas seminggu berehat.
Ditanya jika beliau membuat sebarang perubahan pada rutin harian atau jadual perjalanannya, Hsien Loong berkata beliau dinasihatkan supaya tidak membuat aktiviti yang meletihkan.
“Mereka (doktor) berkata jangan lakukan perkara yang meletihkan diri, dan jika terasa hendak pitam, perlulah segera duduk bercangkung dan jangan sampai tidak sedarkan diri.
“Saya selalu ditemani doktor dalam setiap perjalanan saya termasuk lawatan kerja, sepertimana yang akan saya lakukan esok, Saya cuma perlu berjaga-jaga,” ujarnya.
Hsien Loong akan membuat kunjungan rasmi ke China pada Jumaat (2 September) dan dijadualkan bertemu Presiden China Xi Jinping sempena Sidang kemuncak Pemimpin-Pemimpin G20 di Hangzhou.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami