Kurang dua bulan menjelang pilihan raya presiden Mesir, sudah ada petanda pemilihan bakal berlangsung dalam keadaan tegang.

Sehari selepas pakatan pembangkang mendesak pilihan raya itu diboikot, Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi mengeluarkan amaran keras kepada kumpulan berkenaan.

Tegas el-Sisi, beliau sanggup mati daripada membenarkan golongan tertentu menggugat kestabilan dan keselamatan negara itu.

"Sesiapa sahaja yang mahu menggugat keselamatan Mesir, perlu menghapuskan saya terlebih dahulu. Kerana saya tidak akan membenarkannya berlaku. Saya sanggup mati demi melindungi rakyat," tegas el-Sisi dalam satu rapat umum.

Amaran keras itu beri bayangan pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur dengan tindakan sesetengah pihak mempertikai keabsahan proses pengundian yang dijadual pada 26-28 Mac itu.

El-Sisi juga dilaporkan berkata tidak akan membenarkan kebangkitan rakyat pada 2011 berulang.

Desakan pakatan pembangkang memboikot pilihan raya dikemukakan selepas mereka mendakwa wujud gerakan strategik menghalang calon selain daripada el-Sisi bertanding.

Mereka yang berhasrat menjadi calon presiden dikatakan ditahan serta dipaksa berundur daripada bertanding.

Sehingga kini tiada calon lain dinamakan bakal menentang el-Sisi yang merupakan calon tunggal untuk mempertahankan jawatan itu.

Secara teorinya, pemerhati politik menyifatkan el-Sisi tidak berdepan kesukaran untuk menang pilihan raya presiden dan dilantik semula untuk penggal kedua.