Tutup

Berita  | Dunia

Sebiji durian dijual pada harga hampir RM200,000

Sebiji durian dijual pada harga hampir RM200,000
Durian Kanyao sangat popular kerana rasanya yang manis dan berlemak.
NONTHABURI: Seorang ahli perniagaan di Thailand sanggup membelanjakan hampir RM200,000 semata-mata untuk sebiji durian baka Kanyao dalam satu satu bidaan di Festival King of Durian di Nonthaburi, Thailand, pada Sabtu. 

Durian baka Kanyao merupakan antara durian yang paling mahal di dunia dan mengatasi harga jualan pada tahun lepas iaitu 800,000 baht (RM106,118).

Festival berkenaan turut dihadiri oleh ramai hartawan selain dijual secara terus daripada kebun berhampiran kepada mereka.

Seorang pekebun, Han Chai Thai berkata, dia tidak pernah menyangka durian yang ditanamnya itu mampu mencecah harga lebih 1 juta baht (RM132,543).
“Saya tahu durian ini amat istimewa, tetapi saya teruja melihat harganya. Saya menjangkakan 1 juta baht. Jadi apabila dia terjual dengan harga yang lebih tinggi, ia amat bagus.

“Semoga pembeli yang memenangi bidaan itu menikmati durian yang dibeli. Durian baka itu merupakan yang paling enak di dunia dan saya akan terus menanamnya,” katanya kepada Newsflare.
Terdahulu, festival bidaan itu berjaya mengumpul sebanyak 4.5 juta baht (RM596,434) dan wang tersebut akan diserahkan kepada pekebun.

Selebihnya akan disumbangkan kepada komuniti tempatan untuk membeli peralatan kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak hospital.

Durian Kanyao boleh dikatakan sudah sinonim dengan Nonthaburi di utara Bangkok kerana rasanya yang manis dan berlemak.





Tag: durian, kanyao, thailand, bangkok, Festival King of Durian di Nonthaburi, bidaan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.