Menyifatkan perang perdangan sebagai satu pembaziran, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia telah menyebabkan usaha sesebuah negara untuk menjadi lebih kaya semakin pudar.

Malah, Perdana Menteri mempersoal adakah wujud sebarang undang-undang yang membenarkan sekatan ke atas perdagangan bagi negara lain.

“Kami juga melihat sekatan telah dikenakan kepada negara-negara lain. Kami tidak tahu, di bawah undang-undang apa yang membenarkan sekatan dilakukan. Nampaknya, ia adalah keistimewaan kepada yang kaya dan berkuasa.

“Jika kita mahu mempunyai sekatan, kita perlu mempunyai undang-undang melaksanakannya. Hakikatnya, apabila sekatan dikenakan ke atas sesebuah negara, negara lain akan berdepan situasi sama.

“Malaysia dan banyak negara lain telah kehilangan pasaran besar apabila sekatan dikenakan terhadap Iran,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini pada Jumaat.

Jelasnya, kini mereka yang kaya telah merangka pelan perdagangan dengan memperguna negara kecil dan miskin untuk mengimbangi ketidakseimbangan perdagangan mereka.

“Saya percaya kepada kapitalisme. Tetapi kapitalisme semakin menggila. Mereka sudah bercakap tentang menghasilkan trilion. Adalah berbahaya bagi seseorang atau syarikat untuk mempunyai banyak wang.

“Ia boleh mempengaruhi banyak perkara. Ia boleh membeli kuasa. Kita melihat menerusi Perkongsian Trans Pasifik - TPP, ketika syarikat-perusahaan kaya telah diberi kuasa untuk menyaman Kerajaan.

“Syarat-syarat perjanjian telah disediakan oleh mereka. Dan mereka tidak semua seperti Bill Gates. Kebanyakan cenderung mengeksploitasi wang dan kuasa yang diberikan kepada mereka,” katanya.

Jelasnya, tindakan tersebut akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara kecil dan miskin akan akan terhenti manakala negara kaya pula akan menjadi lebih kaya.