Sekurang-kurangnya 107 orang dilaporkan meninggal dunia dalam tragedi kren runtuh di Masjidilharam di sini, dua minggu selepas umat Islam mula menunaikan ibadah Haji.

Selain dari angka kematian, 238 dilaporkan mengalami kecederaan, menurut pihak Pertahanan Awam Arab Saudi.

Agensi berita Saudi memetik sebagai berkata kren yang terletak di Masjidil Haram itu jatuh selepas dilanda hujan lebat dan ribut pasir pada Jumaat petang.

Bernama pada Sabtu pagi melaporkan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 5 petang waktu tempatan (Jumaat 10 malam waktu Malaysia), seorang jemaah haji lelaki Malaysia dilaporkan patah kaki, manakala lima lagi cedera ringan.

“Empat jemaah lelaki dan dua jemaah wanita cedera, termasuk seorang patah kaki, dia (patah kaki) kini dirawat di Pusat Perubatan Tabung Haji Syisya," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pihak Tabung Haji (TH) akan membuat pemeriksaan dari bilik ke bilik bagi pengesahan selanjutnya berkenaan jumlah jemaah haji Malaysia yang terbabit.

Kren

“Selepas solat Isyak, bermula 11 malam ini (Sabtu 4 pagi waktu Malaysia), kita akan membuat pemeriksaan bilik ke bilik, untuk mengesahkan jemaah kita yang pergi bersolat di Masjidil Haram, pulang ke bilik masing-masing," katanya.

Beliau berkata keluarga dan waris jemaah haji di tanah air yang terbabit dalam kejadian itu telah dimaklumkan.

Syed Saleh berkata kejadian itu berlaku selepas solat Asar selepas umat Islam selesai mengerjakan solat berkenaan.

“Sebuah kren tumbang dalam kejadian ribut pasir dan hujan lebat selepas waktu Asar itu, kren itu dipercayai menghempap kawasan saie, dan sebahagiannya runtuh di kawasan tawaf.

Semua pasukan TH yang terdiri dari pasukan perubatan, kebajikan dan unit peronda sedang berada di kawasan Masjidilharam bagi menyelia keadaan jemaah.

Imej-imej yang dikongsi di laman media sosial mulai petang Jumaat menunjukkan beberapa jemaah Haji dilumuri darah dan habuk kesan dari runtuhan kren yang jatuh melalui siling di Masjidilharam.

Kren tumbang

Gambar-gambar lain yang turut dikongsi menunjukkan beberapa warga Arab Saudi menderma darah untuk jemaah Haji yang mengalami kecederaan.

Portal berita tersebut turut memetik Pengarah Urusan Keselamatan Awam Jeneral Suleiman al-Amr dalam satu temuramah dengan Al Ikhbariya TV sebagai berkata, jemaah Haji yang terkorban telah dibawa ke hospital.

Beliau turut berkata angin kencang dan hujan lebat telah menyebabkan pokok-pokok di sekitar kawasan Masjidilharam dan menyebabkan kren-kren bergegar.

“Kren tersebut runtuh berdekatan pagar Al-Salam yang terletak di atas kawasan Al-Masaa yang menyebabkan sebahagian kecil bahagian di Al-Masaa dan satu lagi kawasan di jambatan Al-Mataf di sekeliling Kaabah,” kata Amr.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat dalam Twitternya berkata, kerajaan akan menghulurkan bantuan secepat mungkin kepada jemaat Malaysia yang mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.