Ketua Eksekutif syarikat Sanrio, yang mengasaskan watak Hello Kitty, mengumumkan akan melepaskan jawatannya selepas 60 tahun.

Shintaro Tsuji, yang akan bersara pada 1 Julai, turut mengumumkan jawatan itu akan diserahkan kepada cucunya, Tomokuni Tsuji, 31. Shintaro bagaimanapun akan kekal sebagai pengerusi syarikat.

Shintaro, 92, memulakan Sanrio sebagai sebuah kedai hadiah dan cenderamata pada tahun 1960, dengan nama Yamanshi Silk Center, sebelum menukarkan namanya kepada Sanrio pada tahun 1973.

Sanrio adalah salah satu syarikat terawal di Jepun yang melihat potensi dalam perniagaan pelesenan watak, dan Hello Kitty setakat ini merupakan watak jenama ciptaan mereka paling popular dan menguntungkan.

Sejak kemunculannya di pasaran pada tahun 1974, Hello Kitty mempunyai pelbagai produk, termasuk kasut, tuala dan penyepit makanan.

Watak kucing kartun itu juga bertanggungjawab memulakan kegilaan masyarakat terhadap budaya 'kawaii' Jepun ke luar negara.

Namun, syarikat itu menghadapi masalah untuk mengembangkan perniagaan pelesenan sejak kebelakangan ini dan nisbah yuran royalti global dalam penjualan turun 11% pada tahun fiskal 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Sanrio bagaimanapun masih berkembang menjadi salah satu gergasi dalam bidang peruncitan dan hiburan.

Taman tema hiburan dan restoran mereka dibuka di Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Perniagaan yang dikendalikan oleh keluarga di Jepun kebiasaannya akan menyerahkan syarikat kepada anak lelaki sulung.

Namun anak lelaki sulung Shintaro, Kunihiko, meninggal dunia pada 2013 akibat penyakit jantung.