Selepas membadai Bahamas, ribut taufan Dorian dijangka mendarat di Selatan Carolina, Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat.

Gabenor Selatan Carolina, Henry McMaster, memberi peringatan kepada penduduk tempatan agar keluar daripada zon evakuasi dalam kadar segera.

Pada satu sidang media pada Rabu, McMaster berkata, wujud kebarangkalian bahawa banjir besar boleh berlaku dan ia amat berbahaya.

Jelasnya, masih belum terlambat untuk saki baki penduduk yang masih tinggal di kawasan itu untuk menyelamatkan diri.

Tambah McMaster, jika ia tidak diendahkan, risiko yang bakal dihadapi dikhuatiri amat tinggi, termasuk kemalangan jiwa.

Sehingga kini, Pusat Meteorologi Nasional AS telah mengeluarkan amaran angin kencang susulan taufan berkenaan yang boleh mengakibatkan kerosakan bangunan serta pokok di kawasan itu.

Taufan Dorian kategori lima itu mampu mencapai kelajuan angin sehingga 290 kilometer sejam.