Polis Hong Kong menyerbu pejabat taikun media, Jimmy Lai pada Isnin susulan penahanannya pada hari yang sama.

Memetik laporan Associated Press, penahanan ini merupakan kes berprofil tinggi pertama di bawah Undang-undang Keselamatan Negara yang dikenakan Beijing ke atas wilayah itu pada Jun.

Undang-undang tersebut antara lain melarang tindakan pemisahan, subversif dan aktiviti keganasan, serta sebarang tindakan bersekongkol dengan kuasa asing dalam urusan bandar itu.

Menurut seorang eksekutif di kumpulan media Lai, Mark Simon, taikun itu ditahan kerana didakwa berkonspirasi dengan kuasa asing.

Selepas ditahan, Lai dibawa ke ibu pejabat syarikat medianya, Next Digital dimana lebih 100 anggota polis menggeledah serta mengepung kawasan berkenaan sehingga mencetuskan kekecohan dengan kakitangan syarikat itu.





Bagaimanapun, apa yang “dicari” tidak jelas.

Simon yang juga pembantu rapat Lai menerusi Twitternya, memberitahu, pihak polis mempunyai waran geledah.

Next Digital antara lain menerbitkan tabloid Apple Daily yang diasaskan Lai pada 1995, menjelang penyerahan Hong Kong oleh Britain kepada China.

Seperti Lai, Next Digital juga mempunyai pendirian pro-demokrasi dan sering menggesa pembacanya untuk mengambil bahagian dalam protes pro-demokrasi.

Harga saham Next Digital melonjak lebih 200 peratus pada petang Isnin.