Bencana ribut tropika Tembin tidak mengenal usia atau jantina.

Selepas membadai Filipina, ribut Tembin dilaporkan semakin mengganas dan bertiup ke arah Laut China Selatan dan menghala ke Vietnam.

Menurut agensi bencana tempatan, lebih 97,000 orang berada di 261 pusat pemindahan sementara manakala hampir 85,000 lagi berada beberapa kawasan berhampiran pusat pemindahan sekitar Filipina.

Tiga wilayah Lanao del Norte, Lanao del Sur dan semenanjung Zamboanga adalah kawasan paling teruk terjejas dibadai ribut tropika ini.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa Vietnam telah memindahkan seramai 74,000 melibatkan 15 daerah dan bandar serta bersiap sedia memindahkan lebih sejuta lagi penduduk.

Media tempatan melaporkan ribuan penduduk yang dipindahkan adalah mereka yang tinggal di rumah yang diperbuat dari 'tin' dan kayu di sepanjang Sungai Mekong.

Vietnam turut mengarahkan hampir 62,000 bot nelayan aktif mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak berlayar jauh.

Selain itu, kerajaan juga menasihatkan agar pelantar-pelantar minyak ditutup bagi memastikan keselamatan pekerjan dan pengeluaran minyak.

Sekolah-sekolah di bandar Ho Chi Minh turut diarahkan tutup pada Selasa.

Kali terakhir wilayah Mekong berdepan bencana ribut adalah pada tahun 1997 oleh bencana ribut tropika Linda yang telah mengorbankan 770 nyawa manakala 2,000 yang lain hilang.

Di FIlipina, sekurang-kurangnya 170 orang dilaporkan masih hilang setakat ini manakala jumlah yang terkorban mencatat 230 orang.