SELEPAS pembebasan warga Indonesia, Siti Aisyah pada Isnin lalu, Vietnam turut meminta Malaysia melakukan perkara sama terhadap warganegara mereka yang dituduh, Doan Thi Huong.

Bapa Huong, Doan Van Thanh, percaya anaknya yang didakwa bersama Siti Aisyah membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam itu tidak bersalah.

“Saya percaya anak saya akan dilepaskan juga kerana dia tidak bersalah. Kami belom menerima apa-apa maklumat dari Malaysia lagi, and kami tidak sabar untuk menerimanya," katanya kepada Reuters.

Susulan itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Menteri Luar Negeri Vietnam, Pham Binh Binh, beliau telah menghubungi rakan sejawatanya di Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, agar pihak mahkamah di Malayasia melaksanakan perbicaraan yang adil dan membebaskan Huong.

“Saya berharap agar perbicaraan yang adil dilakukan di sana dan membebaskan Doan Thi Huong,” kata Binh.

BACA: Keputusan henti pertuduhan kuasa Peguam Negara - Liew

Menteri Kehakiman Vietnam, Le Thanh Long dalam kenyataan pada Rabu, juga telah menghantar surat kepada peguam negara Malaysia, Tommy Thomas supaya membebaskan Huong.

Huong dijadualkan menghadiri perbicaraan semula kes berkenaan pada Khamis.

Peguam yang mewakili Huong, Hisyam Teh Poh Teik masih kekal dengan pendirian bahawa kedua-dua wanita itu telah diupah oleh ejen daripada Korea Utara dan tertuduh menyangka itu adalah satu rancangan realiti TV.

Kim Jong Nam didakwa dibunuh menggunakan senjata kimia maut iaitu agen saraf VX.

Doan Thi Huong dan Siti Aisyah didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, membunuh Kim Jong Nam, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun pada Isnin lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah selepas dua tahun ditahan.

Kim Chol atau Kim Jong-nam meriupakan anak sulung kepada bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong-il, walaubagaimanapun beliau telah dibuang oleh keluarga dan hidup di China dan Asia Tenggara selepas bergaduh dengan bapanya.