Polis New York sedang menyiasat insiden tembakan yang menyebabkan sembilan orang cedera dalam satu perhimpunan besar di bandar raya itu pada lewat malam Sabtu.

Sejurus tiba di lokasi kejadian di Syracuse itu, polis menemui sembilan mangsa tersebut, dengan salah seorangnya dalam keadaan kritikal.

Kesemua mangsa berusia antara 17 hingga 53 tahun.

Ketua Polis Syracuse, Kenton Buckner berkata polis tidak mempunyai maklumat berkenaan suspek dan belum ada sebarang penahanan dilakukan.

Datuk Bandar Syracuse, Ben Walsh menafikan ada mengeluarkan kebenaran untuk perhimpunan itu diadakan.

"Tidak mungkin kami mengeluarkan kebenaran untuk perhimpunan sebesar ini. Kami harus meneliti bagaimana hal ini boleh terjadi," tambahnya.

Tiada penjelasan berkenaan tujuan atau jumlah sebenar peserta perhimpunan tersebut.

New York menyaksikan beberapa kejadian tembakan sejak Jumaat lalu, termasuk di Bronx dan East Village, menyebabkan lebih 22 orang cedera setakat ini.