SEORANG anggota pasukan SEAL Tentera Laut Thailand yang terlibat dalam operasi menyelamat 12 kanak-kanak lelaki dan jurulatih bola sepak di dalam gua lebih setahun lalu dilapor meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah.

Tentera Laut Diraja Thailand pada Sabtu memaklumkan pegawai itu, Beiret Bureerak mendapat jangkitan tersebut semasa operasi menyelamat dan keadaannya sejak itu dilaporkan semakin teruk.

BACA: Begini caranya operasi keluarkan mangsa di Gua Tham Luang

Dalam kejadian pada 23 Jun 2018, 12 kanak-kanak itu bersama jurulatih mereka terperangkap di gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai yang dibanjiri air hujan.

Mangsa hanya berjaya diselamatkan selepas sembilan hari dalam operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan lebih 100 penyelamat dan 1,000 anggota tentera Thailand serta 90 pakar.

Dalam operasi mengambil masa 17 hari itu, bekas penyelam tentera laut Samarn Poonan meninggal dunia ketika menghantar bekalan oksigen kepada mangsa yang terperangkap.