Seorang maut manakala tujuh lagi cedera dalam rempuhan yang berlaku susulan demonstrasi aman Bantah Ahok.

Pada Jumaat, ratusan ribu rakyat indonesia dari segenap pelosok republik itu membanjiri kota raya Jakarta dalam demonstrasi membantah gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang dikatakan telah menghina Islam.

Situasi tegang tercetus apabila polis anti rusuhan Indonesia melepaskan gas pemedih mata ke arah peserta perhimpunan aman bantah Ahok.

Polis dipercayai terpaksa bertindak demikian apabila ada antara peserta demonstrasi yang enggan bersurai.

BACA: Suasana tegang akhiri demonstrasi #BantahAhok

Ada juga antara peserta demonstrasi yang bertindak ganas dengan merempuh serta memukul anggota polis anti rusuhan.

Peserta dikatakan bertindak liar kerana tidak berpuas hati apabila Presiden Indonesia, Joko Widodo, enggan bertemu peserta demonstrasi.

Jokowi dikatakan tidak memberi sebarang respon berhubung kenyataan penghinaan terhadap Islam oleh Ahok.