Kira-kira 164 orang disahkan terbunuh dalam kejadian banjir dan tanah runtuh, disebabkan hujan lebat di Kerala, India yang disifatkan sebagai monsun paling teruk dalam tempoh hampir seabad, lapor Xinhua.

"Ia suatu yang serius dan pihak kami sedang berusaha mengatasinya," kata Ketua Menteri Kerala Pinarayi Vijayan kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, anggota tentera darat, laut dan udara telah dikerahkan ke negeri itu, selain petugas Pasukan Bantuan Bencana Kebangsaan (NDRF) sedia ada.

"Sebanyak 16 pasukan tentera darat, 28 pasukan laut, 39 pasukan NDRF terlibat dalam operasi bantuan dan menyelamat, NDRF sehingga kini telah menyelamatkan 4,000 orang," ujar beliau.

Lebih 200,000 lagi penduduk terpaksa dipindahkan, manakala 10,000 kilometer jalan raya dan ratusan rumah musnah atau rosak.

Antara daerah paling teruk terjejas ialah Idukki, Wayanad, Pallakad, Malappuram, Kochi dan ibu negeri Thirvananthapuram.

Dalam satu kenyataan terkini, pihak berkuasa menyatakan lapangan terbang Kochi yang paling sibuk di selatan India, akan ditutup hingga 26 Ogos.

Jabatan cuaca meramalkan hujan berterusan dalam tempoh seminggu akan datang. Penduduk yang tinggal di tebing sungai di daerah dilanda hujan diarahkan berpindah, sementara nelayan tidak dibenarkan turun ke Laut Arab.

Beberapa empangan, terutamanya empangan Idukki, empangan terbesar di Asia, telah dibuka untuk melepaskan air berlebihan selepas hampir 26 tahun.

Kali terakhir negeri itu dilanda hujan monsun terburuk ialah pada tahun 1924.

-- BERNAMA