Rusia menegaskan bahawa Britain perlu menumpukan kepada penyiasatan sebenar berhubung dua kes keracunan agen saraf VX di Salisbury dan Amesbury dan bukannya berterusan mengeluarkan kenyataan yang berbentuk tuduhan terhadap Moscow.

Kementerian Luar Rusia berkata London seharusnya mempercepatkan proses siasatan dan mendedahkan kepada umum berhubung hasil siasatan tersebut.

"Bolehkah anda (Britain) sekurang-kurangnya mengeluarkan sesuatu yang baharu berhubung kes tersebut?

"Ssekurang-kurangnya melibatkan hasil siasatan yang telah dilakukan?" jelas Kementerian Luar Rusia di laman twitter pada Isnin.

Kenyataan itu dibuat selepas Setiausaha Pertahanan Britain, Gavin Williamson menuduh Rusia terlibat secara langsung dengan insiden terbaharu di Amesbury.

"Realitinya mudah, Rusia telah melakukan serangan tersebut di tanah British yang melibatkan kematian warga British.

"Saya fikir dunia akan bersatu dengan kita dan mengutuk serangan tersebut," jelas Williamson pada Ahad.

Kejadian terbaharu itu melibatkan pasangan suami isteri, Charlie Rowley, 45, dan Dawn Sturgess, 44, didakwa terdedah kepada gas beracun yang hampir sama dengan racun yang digunakan terhadap bekas perisik Rusia Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia, Mac lalu.

Pada Ahad ibu kepada tiga anak, Dawn Sturgess dilaporkan meninggal dunia manakala suaminya Charlie Rowley kini berada dalam keadaan kritikal.

Pasangan itu dikatakan diserang menggunakan racun ajen saraf yang dikenali sebagai Novichok minggu lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Daerah Salisbury pada 30 Jun lalu.

Mereka dipercayai telah terdedah kepada bahan tercemar tersebut di satu lokasi yang tidak didedahkan pada 29 jun lepas.

Sementara itu Kedutaan Rusia di Britain pada Isnin turut mengeluarkan kenyataan lanjut.

"Kami berharap siasatan berhubung insiden tersebut disiasat dengan hati terbuka dan secara telus serta mengikut piawaian antarabangsa yang tinggi.

"Dan pelaku akan dibawa ke muka pengadilan," jelas kenyataan itu.

Berhubung siasatan yang diketuai Scotland Yard, laporan awal menyebut tiada bukti jelas kaitan insiden di Amesbury dengan yang berlaku di Salisbury Mac lalu.

Menurut Ketua Pencegahan Keganasan Scotland Yard, Neil Basu, mereka tidak mengesahkan sama ada pasangan terbabit ada mengunjungi lokasi kejadian ataupun terdedah kepada racun tersebut di lokasi lain.

"Setakat ini tiada bukti bahawa Dawn dan Charlie melawat mana-mana kawasan yang tercemar dengan racun tersebut atau di lokasi pembunuhan Sergei dan Yulia Skripal," jelasnya.