Polis Thailand menahan lapan individu yang dipercayai terlibat dalam serangan di pos kawalan keselamatan di Yala, Selatan Thailand, Selasa lepas.

Ketua Polis Wilayah Yala, Mej Jen Pol Prabpal Meemongkol berkata dalam serbuan di 19 lokasi di Daerah Khok Pho, Pattani dan Daerah Mueang, Yala awal pagi hari ini, pihak keselamatan Thailand berjaya menahan enam individu yang dipercayai terbabit dalam serangan itu.

Semalam, polis menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam serangan di wilayah bergolak Yala.

Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan di Kem Tentera Inkayuth untuk siasatan lanjut.

"Pihak keselamatan menemui baju dan beg galas yang digunakan dalam serangan pada malam Selasa lepas," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Pattani, Pol Mej Jen Jirawat Payungtham berkata antara suspek yang ditahan termasuk mereka yang dikehendaki dengan waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah.

"Operasi memburu kesemua suspek akan dipergiat untuk memastikan mereka yang terlibat dalam serangan itu akan dihadapkan ke mahkamah.

"Berdasarkan maklumat, beberapa suspek berjaya melarikan diri ketika serbuan namun kami percaya mereka masih dalam kawasan sasaran. Kami yakin mereka akan ditahan tidak lama lagi," katanya.

Pada malam Selasa lepas, sekumpulan individu bersenjata merempuh satu tempat pemeriksaan keselamatan di wilayah Yala, membunuh 15 orang, termasuk sukarelawan pertahanan kampung dan anggota polis serta mencederakan lima yang lain. Ia serangan tunggal paling buruk di selatan Thailand dalam beberapa tahun lepas.

Penyerang telah menggunakan bahan letupan dan menaburkan paku di atas jalan dalam usaha memperlahankan pergerakan orang ramai ketika mengejar mereka.

Pihak berkuasa Thailand percaya sekurang-kurangnya 30 hingga 40 orang yang terlibat termasuk mereka yang menyalurkan bantuan untuk melakukan serangan itu.

-- BERNAMA