Pengganas militan kini semakin menggunakan tatik serangan berkenderaan, seperti yang berlaku di luar Parlimen Britain pada Rabu, kerana kaedah itu murah, mudah untuk dirancang dan sukar dicegah, menurut pakar dalam kajian keganasan.

Taktik merempuh orang ramai tidak memerlukan bahan letupan atau senjata serta boleh dilakukan oleh seorang penyerang tanpa menggunakan rangkaian militan lain, dan itu mengurangkan risiko rancangan tersebut dihidu pihak berkuasa.

“Serangan sebegini tidak memerlukan persediaan rapi, tidak melibatkan perbelanjaan tinggi, dan mampu dilakukan sesiapa sahaja.

“Selalunya ia dalah kes tindakan individu, yang lazimnya dibuat secara spontan,” ujar ahli Parlimen Sosialis Perancis, Sebastien Pietrasanta, yang juga pakar tentang keganasan.

Lima dilaporkan maut dalam serangan yang berlaku di luar kawasan Parlimen Britain. Selain tiga orang awam dan seorang anggota polis, penyerangnya juga mati ditembak polis.

Tahun lalu, kenderaan jenis lori digunakan untuk merempuh orang ramai dalam insiden serangan di Berlin dan Nice, berbanding serangan yang lebih terancang yang telahpun berlaku di Paris dan Madrid.

Pada tahun 2005 pula, serangan lebih terancang terjadi di London yang melibatkan kumpulan pengganas yang menggunakan senjata api serta bahan letupan.