Tindakan pasukan keselamatan yang menyerbu sebuah hotel mewah yang ditawan sekumpulan penyerang di Bamako, Mali telah mencetuskan pertempuran hingga angka kematian kini meningkat ke 27 orang, lapor Reuters.

Kebanyakan daripada 170 tebusan di Hotel Radisson Blu itu merupakan warga asing dan seorang pegawai rasmi dari Belgium adalah antara yang terkorban.

Kira-kira selepas sembilan jam drama serangan itu berlaku, Menteri Keselamatan Mali berkata tiada lagi tebusan yang terperangkap di dalam bangunan hotel itu.

Sebelum itu, puluhan tebusan yang masih hidup telah dibebaskan dengan bantuan pihak berkuasa tempatan.

Dalam kejadian yang berlaku pagi jumaat itu, serangan dilakukan oleh 10 lelaki bersenjata yang dipercayai anggota militan menawan 140 tetamu hotel dan 30 pekerjanya.

BBC melaporkan kumpulan penyerang masuk ke kawasan hotel menggunakan kenderaan diplomatik, sebelum melepaskan tembakan rambang.

Hotel tersebut merupakan salah satu hotel terbesar di Mali yang dimiliki kumpulan Rezidor dari Amerika Syarikat.

Sehingga kini, identiti penyerang masih belum dikenal pasti.

Agensi berita Xinhua mendakwa sekurang-kurangnya tujuh warga China berada dalam kumpulan tawanan tersebut manakala syarikat penerbangan Turkish Airlines menyatakan bahawa enam pekerjanya terperangkap dalam serangan berkenaan.

Serangan tersebut dilihat sebagai insiden susulan drama tebusan di sebuah hotel di Sevare Ogos lalu yang menyebabkan 13 termasuk lima pekerja Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) terkorban.

Mali yang merupakan bekas tanah jajahan Perancis, menyaksikan campur tangan negara Eropah dalam mengekang kemaraan kumpulan rangkaian Al-Qaeda di negara berkenaan.