Lelaki yang melepaskan tembakan rambang di sebuah kelab malam dan bar di Orlando pada Ahad, hingga mengakibatkan 50 orang terbunuh, manakala 53 yang lain cedera dipercayai ada kaitan dengan Daish, kata pihak berkuasa.

Insiden tembakan rambang paling ramai mangsa dalam sejarah di Amerika Syarikat itu membuatkan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama melabelkan serangan itu sebagai tindakan pengganas dan juga mempunyai unsur kebencian, lapor The Washington Post.

Suspek melepaskan tembakan secara rambang di kelab Pulse itu lantas mencetuskan panik hingga ada yang terpaksa meniarap di lantai, merangkak dan lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri.

Suspek yang bertindak secara seorang diri kemudian menjadikan pengunjung kelab itu sebagai tebusan selama tiga jam – sebelum ketibaan pihak polis dan menembak mati suspek.

Saksi memberitahu, kejadian itu sangat menakutkan. Hospital juga dipenuhi pesakit yang cedera terkena tembakan di dada, kaki dan tangan.

“Ada yang terpaksa kehilangan betis dan lengan mereka,” kata doktor.

Tindakan SWAT

Menurut pihak polis pula, jumlah kematian mungkin meningkat jika tidak kerana kecekapan anggota Pasukan Khas Senjata dan Taktik (SWAT) yang berjaya menyelamatkan 30 individu di kelab berkenaan.

Selain itu, kebanyakan mangsa adalah daripada etnik Latin, yang kebetulan meraikan tema 'Latin Night’ pada malam itu.

“Kami berdepan dengan situasi yang tidak pernah dibayangkan dan sangat tidak dapat digambarkan.” Jelas Datuk Bandar Orlando, Buddy Dyer D, yang turut mengumumkan sebagai darurat kecemasan di Bandar berkenaan.

Suspek dikenal pasti sebagai Omar Mateen, 29, anak kepada pasangan warga Afghanistan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan yang dilahirkan di New York.

Menurut pihak berkuasa AS, Mateen, selepas melepaskan tembakan itu di kelab berkenaan, dia menghubungi 911 dengan melafazkan ikrarnya kepada kumpulan Daish.

Mateen juga ada menyebut kaitan dirinya dengan Maraton Boston.

Serangan bersenjata itu, memberikan satu ‘amaran’ terbaharu dengan serangan pengganas di AS.

Bukan itu sahaja, ia juga satu kebimbangan dalam sikap keterbukaan AS dalam mempertahankan hak dan komuniti homoseksual, lesbian dan transgender, berikutan ulang tahun pertama keputusan Mahkamah Agung membenarkan perkahwinan sejenis.

Kawalan ketat

Di Washington pula, susulan insiden berdarah itu, perarakan Festival Capital Pride yang bakal berlangsung bagi meraikan kalangan gay, lesbian dan transgender, sepanjang bulan ini, termasuk di beberapa lokasi dunia yang lain -- akan dikawal ketat oleh pihak polis.

“Sebagai warga AS, kami bersatu dalam kesedihan serta kemarahan dalam mempertahankan seluruh rakyat AS," tegas Obama ketika berucap di White House, ketika menyatakan pihak Biro Penyiasatan Persekutuan sedang melakukan siasatan berhubung serangan itu sebagai tindakan pengganas.

Paling teruk serangan bersenjata ini di Virginia Tech, pada tahun 2007, dengan melibatkan kematian 32 orang.

Sepanjang hari, ahli keluarga dan rakan mangsa berkumpul di Hampton Inn & Suites bagi menantikan berita terkini mengenai nasib mangsa.

Sepanjang tempoh itu, dengan nama mangsa disiarkan, suasana pilu menyelubungi pekarangan lobi hotel.

Menurut FBI, Mateen sudah dua kali disoal siasat, namun dibebaskan. Pada tahun 2013, Mateen disoal siasat kerana membuat komen dengan rakan sekerja yang menjurus kepada kaitan dengan pengganas. Bagaimanapun, komen itu tidak dapat dibuktikan.

Tahun berikutnya, FBI menyiasat hubungan Mateen dengan Moner Mohammad Abusalha yang menjadi warga AS pertama yang melakukan serangan berani mati di Syria. Sebagaimana Mateen, Abusalha juga tinggal di Fort Pierce, di Florida.