Tutup

Berita  | Dunia

Shimanami Kaido, laluan berbasikal terbaik di dunia!

Shimanami Kaido, laluan berbasikal terbaik di dunia!
Penulis (kiri) berpeluang menikmati udara nyawan dan pemandangan menakjubkan sepanjang Shimanami Kaido. - Astro AWANI/Faris Danial Razi
PADA asalnya, jambatan yang diberi nama Shimanami Kaido yang terletak di Wilayah Ehime, Jepun bertujuan bagi menghubungkan pulau utama Honshu dengan Shikoku yang merupakan pulau keempat terbesar di negara tersebut.

Namun, oleh kerana penduduknya yang mempunyai mentaliti begitu cenderung ke arah gaya hidup yang sihat, ia turut direka dengan laluan khas bagi aktiviti berbasikal.
Jambatan sepanjang 60 kilometer yang merentasi enam pulau kecil ini bukan sahaja direka untuk ruangan berbasikal malahan ia juga mempunyai lorong khas bagi pejalan kaki.

Tentunya, lautan Seto yang memisahkan Honshu, Shikoku dan Kyushu ini menjadikan ia sebagai satu lokasi berbasikal terbaik dunia kerana udaranya yang nyaman dan pemandangannya sangat luar biasa.
 Foto: Astro AWANI/Faris Danial Razi

Dikelilingi gunung-ganang dan lautan biru yang terbentang luas, laluan yang bermula dari bandar Imabari turut menjanjikan mereka yang pertama kali ke wilayah Ehime, terpukau dengan keindahan suasana di sini.

Bagaimanapun, cabaran bagi setiap laluan yang dipilih juga sebenarnya bergantung kepada jarak yang diinginkan kerana bagi yang jarang berbasikal dan tidak mahu memaksa diri, pastinya boleh memilih jarak yang lebih dekat.

Namun, apa yang menarik tentang berbasikal di Shimanami Kaido adalah tidak kira sesiapapun yang berbasikal di situ, dapat menyaksikan keindahan yang sama.

 Foto: Astro AWANI/Faris Danial Razi

Akan tetapi, berbasikal dalam atmosfera yang cukup luar biasa ini pastinya tidak lengkap jika tidak dapat mengimbau semula kenangan manis ini dengan bergambar.

Di sini, mereka turut memberi kebebasan untuk para penunggang basikal untuk berhenti mengambil gambar di tengah-tengah jambatan dengan berlatarkan rumah api, gunung Kirou dan alam semula jadi yang sungguh indah.

Jika diikutkan, mengayuh sepanjang 6 kilometer dari Imabari ke Yoshiumichofusuma tidaklah begitu mencabar kerana faktor cuaca dan suhu buat masa ini yang lebih kepada berangin dan sejuk.

Pelbagai cara boleh dipilih jika ingin mengambil pengalaman berbasikal di sini, antaranya ialah dengan menyewa basikal mengikut kadar bajet sendiri secara harian, ataupun bermalam sahaja di lokasi itu.

 Foto: Astro AWANI/Faris Danial Razi

Wilayah Ehime ini juga merupakan salah satu lokasi yang menyambut baik atlet Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan menyediakan kem latihan bagi persediaan Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Selain itu, gabenornya, Tokihiro Nakamura  turut mengalu-alukan atlet di seluruh dunia untuk menjalankan latihan dan sangat terbuka untuk memperluaskan lagi budaya sukan di sini.

Jadi, jika ingin merasakan pengalaman yang santai tidak seperti di Tokyo yang begitu hiruk-pikuk, wilayah Ehime pastinya menjadi destinasi pilihan dan ia hanya mengambil masa selama sejam 20 minit sahaja dengan penerbangan dari ibu negara Jepun.

Foto: Astro AWANI/Faris Danial Razi