Satu kejadian gempa bumi dengan kekuatan 4.8 magnitud menggegarkan kawasan di utara Catania iaitu di cerun Gunung Etna di Sicily pada awal Rabu.

Reuters melaporkan, gegaran itu telah menyebabkan banyak bangunan mengalami kerosakan teruk manakala 30 porang dilaporkan mengalami kecederaan.

Bencana itu berlaku dua hari selepas Gunung Etna, iaitu gunung berapi paling tinggi dan aktif di Eropah, meletus dan memuntahkan debu ke udara.

Keadaan itu telah menyebabkan penutupan sementara lapangan terbang Catania.

Gempa bumi yang melanda pada jam 3.19 pagi waktu tempatan itu mengejutkan penduduk yang sedang tidur. Mereka kelam kabut meninggalkan kediaman masing-masing dan ada yang memilih untuk tidur di dalam kenderaan.

Gegarannya amat dirasai kerana pusat gempa tersebut hanya berkedalaman 1 kilometer.

Laporan di televisyen menunjukkan banyak bangunan mengalami kerosakan, terutamanya bangunan lama di bandar bersejarah seperti Santa Venerina dan Zafferana Etnea.

Kira-kira 30 orang cedera, kebanyakannya akibat terkena jatuhan struktur konkrit ketika mereka cuba menyelamatkan diri.