Kerajaan tidak pernah mengetepikan penekanan komitmen dan inisiatif negara ke arah memperkasakan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ia selari tema Sidang Kemuncak NAM Ke-17, 'Keamanan, Kedaulatan dan Kesepaduan bagi Pembangunan' yang sedang berlangsung di Venezuela.

"Saya mengetuai delegasi negara ke Sidang Kemuncak NAM Ke-17 yang akan diadakan dari 17 hingga 18 September 2016 di Isla Margarita, Venezuela.

"Sidang ini turut meraikan sambutan ulang tahun Ke-55 penubuhan NAM yang akan dihoskan Republik Bolivaria Venezuela selaku Pengerusi NAM (2016-2019).

"Ia mengambil alih Kepengerusian NAM daripada Iran yang memegang jawatan Pengerusi NAM dari tahun 2012-2016," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, Sidang Kemuncak NAM yang diadakan setiap tiga tahun sekali merupakan forum di mana wakil-wakil daripada 120 Negara Anggota NAM berbincang dan menilai pelaksanaan keputusan yang telah dipersetujui semasa Sidang Kemuncak NAM Ke-16 yang diadakan di Tehran, Iran pada bulan Ogos 2012.

Sidang berkenaan turut menggubal maklum balas terhadap isu-isu serantau dan antarabangsa semasa, khususnya dalam bidang politik, keselamatan dan pembangunan.

Dalam pada itu, katanya, persidangan itu turut memberi peluang kepada kerajaan untuk mengadakan pertemuan dalam kalangan negara anggota NAM untuk bertukar-tukar pandangan berhubung isu-isu bilateral, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

"Penyertaan Malaysia ke Sidang Kemuncak ini mencermin serta mengesahkan komitmen berterusan negara kepada prinsip-prinsip dan perjuangan NAM.

"Malaysia telah mengganggotai NAM sebagai negara anggota pada tahun 1970, dan pernah menjadi Pengerusi NAM dari tahun 2003 hingga 2006, serta negara ahli kepada Committee on Palestine (sejak tahun 2002).

"Semasa mempengerusikan NAM, Malaysia telah mengehoskan Sidang Kemuncak NAM Ke-13 di Kuala Lumpur (2003), Mesyuarat Peringkat Menteri NAM Mengenai Kemajuan Wanita Kali Pertama di Putrajaya (2005), Persidangan Menteri-Menteri Penerangan NAM Ke-6 di Kuala Lumpur (2005) dan Ministerial Meeting of the NAM Coordinating Bureau di Putrajaya (2006)," katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan juga telah menubuhkan NAM News Network (NNN) di bawah Bernama dan NAM Institute for the Advancement of Women (NIEW) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2005, serta membiayai sepenuhnya kos perbelanjaan bagi operasi institusi-institusi berkenaan.